Shah Alam – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sekali lahi menggesa kerajaan menghapuskan hidangan arak di dalam semua pesawat MAS, susulan insiden penerbangan MH128 terpaksa berpatah balik kerana seorang penumpang membuat kacau.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, insiden itu membuktikan arak di dalam pesawat boleh membahayakan penerbangan.
“Peristiwa ini beri gambaran buruk kepada Malaysia yang terkenal sebagai imej islam dan hab halal.
“Saya mahu perjualan arak dalam pesawat MAS dihentikan serta-merta.
“Insiden penumpang mabuk boleh membahayakan pesawat ketika berada di udara kerana tindakan ganas yang tidak boleh diduga boleh berlaku,”katanya, semalam.
Beliau berkata, PPIM sendiri konsisten dengan gesaan supaya dihentikan hidangan arak ke atas MAS dan termasuk juga ke atas syarikat penerbangan lain.
“Ambil contoh, orang tak boleh pandu ketika minum arak kerana ia memabukkan. Bukan sahaja menaiki kenderaan seperti kereta, lori, bas dan sebagainya, tapi larangan harus juga dikenakan ke atas penumpang serta pemandu kapal terbang.
“Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah semua pihak bermuhasabah diri atas insiden yang berlaku ini.
“Untuk dapat keberkatan dan keredaan Allah SWT, janganlah kita mengundang kemurkaan-Nya.
“Jadikan iktibar dan PPIM ulangi gesaan hentikan arak di dalam kapal terbang,” katanya.