Pada Ogos 2010, penduduk di sekitar Kuala Terangganu gempar apabila dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat sehingga boleh didengari sejauh beberapa kilometer.
Berita itu sampai ke pengetahuan penulis yang ketika itu bertugas di Biro Terengganu dan tanpa lengah terus menuju ke tempat bunyi letupan itu dilaporkan untuk membuat liputan.
Kehadiran orang ramai yang sudah mula mengerumuni lokasi kejadian memudahkan penulis mencari tempat tersebut iaitu di sebuah rumah yang terletak tidak jauh daripada beberapa buah rumah lain di kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, struktur rumah tersebut sudah tiada kerana yang tinggal hanya tangga batu dan beberapa serpihan binaan lain.
Namun penulis terkesima apabila dikhabarkan dalam kejadian tersebut, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui didalam keadaan yang tragis apabila jasadnya melambung kesan letupan tersebut ditemui tersangkut pada dahan sesebuah pokok beberapa meter dari rumah itu dalam kecederaan parah di kepala.
Pada Ramadhan tahun lalu, seorang pelajar, Mohd. Haiqal Firdaus Mohd. Abdullah, 14, cedera parah akibat terkena letupan mercun yang tidak sempat dilemparkan dalam kejadian di Kampung Tok Kah, Dungun selepas berbuka puasa.
Di Kuala Kangsar, Perak, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun putus tiga jari manakala tapak tangan kanannya terbelah akibat bermain mercun. Kejadian berlaku apabila mangsa, Adam Haikal Mohd. Sabri, 11, dikatakan tidak sempat membaling mercun yang sudah dinyalakan menyebabkan meletup di tangan.
Terbaharu, pada isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menjadi mangsa mercun pertama Ramadhan tahun ini.
Mujurlah, dalam kejadian di Wakaf Beruas, Kuala Terengganu itu tidak menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa yang cuba bereksperimen dengan menggabungkan dua biji mercun bola yang ditanam di dalam tanah.
Bagaimanapun, kecederaan ke atas mangsa termasuk menyebabkan mangsa kehilangan nyawa, buta serta cacat anggota badan lain selain kecederaan parah yang pernah dihebohkan tidak menjadi pengajaran malahan ada yang sudah berkira-kira termasuk kos belian mercun di dalam senarai perbelanjaan hari raya tahun ini.
“Berapa mata lagi hendak menjadi buta, berapa banyak lagi mangsa akan hilang jari, berapa ramai lagi akan kehilangan nyawa. Cukup-cukuplah bermain mercun. Saya tidak faham. Saya juga tidak tahu tahu apa yang masyarakat kita harapkan dengan bermain mercun,” ujar Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau kecewa kerana kes-kes akibat bermain mercun tidak pernah menjadi pengajaran kepada masyarakat kita.
Menurutnya, langkah drastik perlu diambil dalam memastikan penjualan mercun dan bunga api disekat selain emreka terbabit dikenakan hukuman yang boleh menginsafkan termasuk mengenakan tindakan kepada ibubapa yang membiarkan anak-anak bermain bahan terlarang itu.
Daripada sudut agama, perbuatan bermain mercun turut bercanggah dengan ajaran Islam kerana berdasarkan kepada banyak nas, hukum mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam lebih-lebih lagi yang bersifat membahayakan.