Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan Himpunan Mega Demi Palestin yang diadakan di ibu kota, hari ini berjalan lancar dengan penglibatan lebih 1,000 peserta.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin yang berhak untuk kembali ke tanah air mereka itu adalah dari pelbagai latar kaum dan agama.
“Ini selaras dengan pendirian kerajaan yang menyokong perjuangan pembebasan rakyat Palestin.
“Perang yang berlaku ini harus dihentikan serta-merta bagi menyelamatkan nyawa mereka yang tidak berdosa.
“Saya menyeru semua rakyat untuk terus berdoa kepada Allah supaya rakyat Palestin sentiasa dipelihara, diberikan kekuatan dan kekal bersemangat tinggi demi kemerdekaan Palestin.
“‘From The River To The Sea, Palestine Will Be Free’!” katanya menerusi Facebook rasmi beliau.
Himpunan Mega Demi Palestin menyaksikan lebih 1,000 peserta Himpunan berarak sejauh lebih lima kilometer dari Menara TH di Jalan Razak hingga ke Padang Merbok.
Rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama berarak mulai jam 2.20 petang sambil membawa plakad serta bendera Palestin.
Mereka turut melaungkan kata-kata ‘Free Palestin’, Hancur Zionis dan Bangsat USA diiringi paluan dram bagi menyatakan solidariti terhadap Gaza.
Perarakan turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; wakil Freedom Flotilla Coalition, Dr Fauziah Mohd Hasan; penyelidik Palestine Centre of Excellence, Khalid Jimat serta Presiden Sejagat, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan.
Solidariti terhadap Palestin juga ditunjukkan oleh pimpinan dah ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM); bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; aktivis sosial, Hishamuddin Rais dan Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Kehadiran anak Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menarik perhatian.
Artikel oleh: Harapan Daily
HENTIKAN GENOSID DI PALAESTIN, SELAMATKAN NYAWA MEREKA YANG TIDAK BERDOSA