Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HIDUP PUNAH TERPEDAYA JANJI MANIS SINDIKET – HARIAN METRO – 10/11/2021
11 Nov 2021

Kuala Lumpur: Janji manis untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia, tetapi realitinya dikurung dan dipaksa membayar RM20,000 untuk dibebaskan.

Itu detik hitam dilalui lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Mosharaf, 37, yang menjadi mangsa kepada sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia apabila tiba di negara ini, kira-kira enam tahun lalu.

Sebelum itu, dia yang menjalankan perniagaan ais krim di Comilla, Dhaka, Bangladesh berkenalan dengan seorang rakan senegara sebelum disaran membuka perniagaan sama di Malaysia.

“Kebetulan perniagaan saya berdepan kerugian kerana musim sejuk yang panjang lalu saya bersetuju dengan saranan lelaki itu untuk datang ke negara ini.

“Saya membuat visa profesional (urusan perniagaan) untuk masuk ke negara ini dan sebaik tiba, saya dibawa lelaki tempatan yang mengaku ejen syarikat menguruskan kemasukan warga asing sebelum dibawa ke sebuah rumah di Shah Alam.

“Saya dikurung selama dua hari dan dipaksa membayar RM20,000 jika mahu dibebaskan. Saya terpaksa menghubungi isteri di kampung untuk memasukkan wang kepada sindiket itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia dibebaskan beberapa hari kemudian selepas membayar wang tebusan dan akhirnya terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kehidupan di negara ini.

“Kini saya bekerja sebagai pekerja pembersihan dan terpaksa melupakan impian untuk membuka perniagaan ais krim disebabkan ketiadaan wang.

“Gaji bulanan pun hanya cukup menampung keperluan harian saya dan keluarga di kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kegiatan memperdaya warga asing bukan baharu di kalangan sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan mensasarkan mangsa terutama mereka yang hidup susah di negara asal.

Katanya, aktiviti sindiket terbabit memberi imej buruk kepada negara sehingga dilabel sebagai negara menggunakan buruh paksa.

“Justeru, PPIM meminta kerajaan mengkaji semula sistem kemasukan pekerja asing dengan tidak melantik pihak ketiga dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sindiket berkenaan,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

HIDUP PUNAH TERPEDAYA JANJI MANIS SINDIKET

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/11/775959/hidup-punah-terpedaya-janji-manis-sindiket