Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
IBADAH KORBAN: UTAMAKAN DAHULU ‘KELUARGA’ KITA SEBELUM KE LUAR NEGARA – GETARAN – 14/07/2022
15 Jul 2022

KUALA LUMPUR – Umat Islam negara ini dinasihatkan supaya lebih mengutamakan ibadah korban di tanah air sendiri, susulan peningkatan jumlah golongan memerlukan.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, Islam mengajar umatnya untuk menjaga kaum keluarga sendiri terlebih dahulu, sebelum beralih membantu pihak lain.

“Bukan korban sahaja, di Malaysia ini orang Islam yang lapar, sangat miskin dan fakir pun ‘bertimbun-timbun’.

“Yang memerlukan bantuan bertimbun-timbun tetapi kita beri tumpuan (pula) kepada negara lain. Bukan saya kata tidak boleh, tetapi utamakanlah di tempat sendiri terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kecenderungan segelintir umat Islam di negara ini melakukan ibadah korban di luar Malaysia, yang dikatakan semakin bertambah.

Senario tersebut antara lain dikatakan berpunca daripada harga seekor lembu atau kambing dan bahagian korban yang semakin mahal, berbanding di negara luar.

Kecenderungan mengerjakan korban di luar negara juga didakwa menyebabkan terdapat masjid yang kariahnya melebihi 1,000 di Malaysia hanya mendapat dua atau tiga ekor lembu, sedangkan ada masjid di Kemboja misalnya, menerima sehingga 40 lembu untuk dikorbankan.

Turut senada ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman yang berkata, keutamaan menerima daging korban hendaklah diberikan kepada individu terhampir dan memerlukan. 

Katanya, adalah lebih afdal jika jawatankuasa korban dapat memastikan tiada rakyat tempatan yang tertinggal daripada mendapatkan manfaat ibadah berkenaan. 

“Terdapat juga golongan yang mencari haiwan korban dengan harga yang lebih murah memandangkan kemampuan mereka hanya setakat itu.

“Mungkin mereka berhasil mendapat harga lebih murah di luar negara. Orang itu niatnya, keikhlasannya, tahap itu sahaja (yang) dia mampu. Kita tidak boleh nafikan niat atau kedudukan kewangan individu yang melakukan ibadah terbabit,” katanya.

Dr Ma’mor menarik perhatian, kerajaan dan pihak berwajib mungkin boleh merumuskan satu mekanisme khusus untuk meletakkan harga haiwan korban di paras berpatutan dan mampu dibeli oleh semua pihak.

“Sudah tentu ada kaedah (yang efisien). Saya kenal ada seorang saudagar lembu. Sebenarnya dia boleh memberi harga lembu yang setanding dengan harga dan saiz seperti di Kemboja,” katanya.

Namun begitu tambah Dr Ma’mor, kemampuan saudagar lembu itu terhad kepada membekalkan hanya 300 lembu setahun.

“Sekiranya semua pihak boleh pelajari teknik saudagar tersebut, lebih-lebih lagi Malaysia yang mempunyai kawasan lepas dan ragut bersaiz besar, nescaya kita boleh menghasilkan lembu pada harga lebih murah,” katanya.

Dr Ma’amor juga mencadangkan sistem pawah digunakan, sebagai usaha mengurangkan kos supaya semua pihak mampu mengerjakan ibadah korban setiap tahun.

“Dalam masa sama, saya harap penternak tempatan mencari jalan bagaimana kita boleh mengurangkan kos kepada orang yang hendak mengerjakan korban,” katanya.

Artikel oleh: Getaran

IBADAH KORBAN: UTAMAKAN DAHULU ‘KELUARGA’ KITA SEBELUM KE LUAR NEGARA

https://www.getaran.my/artikel/semasa/26947/ibadah-korban-utamakan-dahulu-keluarga-kita-sebelum-ke-luar-negara