6 Mac 2020 (Jumaat) – Bertindak atas aduan yang diterima daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai seorang ibu tunggal 6 orang anak yang baru sahaja kematian suami, Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP segera bertindak mengunjungi keluarga tersebut di Kepong, Kuala Lumpur.
Pn. Dzuliana, 37 yang baru kematian suaminya akibat serangan jantung pada 24 Februari lalu kini hilang tempat bergantung kerana tiada lagi sumber pendapatan bagi menanggung keperluan sara hidup beliau dan 6 orang anaknya. Keadaan bertambah sukar apabila beliau sedang sarat mengandung 7 bulan anak ketujuhnya.
“Sekarang saya hanya berharap kepada pemberian ehsan adik-beradik dan saudara-mara sahaja”, jelas Pn. Dzuliana apabila ditanya tentang sara hidupnya. Beliau yang sebelum ini tidak pernah bekerja malah tiada wang simpanan peninggalan arwah suaminya itu, kini terpaksa berhadapan dengan tunggakkan sewa rumah yang tidak dibayar sejak 2 bulan lalu.
Namun beliau meminta jasa baik tuan rumah agar membenarkan beliau dan anak-anak terus menetap disitu sehingga beliau mendapatkan rumah sewa yang lain. Walaupun mempunyai kenderaan milik arwah suaminya, akan tetapi Pn. Dzuliana yang tidak boleh memandu disamping tiada lesen terpaksa bergantung dengan bantuan keluarganya untuk keluar rumah hatta hanya membeli barang keperluan dapur.
Bersimpati ke atas nasib menimpa Pn. Dzuliana, skuad mengesyorkan Bantuan Kecemasan bagi membantu untuk menampung perbelanjaan sara hidupnya bersama 6 orang anak sementara waktu disamping persediaannya untuk bersalin tidak lama lagi.
Beliau turut ditawarkan Bantuan Kewangan Bulanan dan Bantuan Sewa Rumah Bulanan bagi meringankan beban hidupnya pada masa akan datang.
Selain itu, Baitulmal MAIWP turut mencadangkan agar beberapa orang anak beliau ditempatkan di pusat perlindungan anak-anak yatim dan fakir miskin milik MAIWP iaitu di Kompleks Darul Kifayah yang terletak di Batu Muda. Pn. Dzuliana akan berbincang dengan keluarganya dan akan memaklumkan keputusannya dalam masa terdekat.
Terima Kasih Pembayar Zakat
Amanah Anda Kami Laksanakan
Artikel oleh: Baitulmal MAIWP
IBU TUNGGAL SARAT MENGANDUNG ANAK KETUJUH HILANG TEMPAT BERGANTUNG
https://www.facebook.com/search/top/?q=baitulmal%20maiwp&epa=SEARCH_BOX