Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ICQS : PPIM AKUI TERIMA LAPORAN, MAKLUMAT – UTUSAN MALAYSIA – 13/5/19
13 May 2019

ICQS PPIM AKUI TERIMA LAPORAN, MAKLUMAT Utusan 13.5.19

KUALA LUMPUR 12 Mei – Masalah ketirisan dan kelemahan keselamatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bukan perkara baharu yang dihadapi oleh kerajaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan malah mengakui pihaknya juga menerima beberapa laporan dan maklumat berkenaan kelemahan tersebut sebelum ini.

Selain itu, katanya, masalah bukan sahaja membabitkan anggota, tetapi turut melibatkan kawalan keselamatan yang disifatkan agak longgar sehingga boleh menyebabkan pelbagai barangan dibawa pengimport masuk. “Saya difahamkan dahulu kita ada mesin pengimbas.

Tetapi apa cerita dengan mesin tersebut? Kita sebenarnya ada terima maklumat berkaitan masalah ini. Masyarakat sendiri boleh nampak kelemahan yang berlaku.

“Antaranya pemeriksaan keselamatan. Ada antara barangan yang dilepaskan tanpa menjalani prosedur ketat sedangkan kita sendiri tidak tahu apa yang dibawanya. Jadi satu tindakan yang tegas perlu diambil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia hari ini berkenaan kelemahan ketara ICQS Kota Putra di Durian Burung yang tidak mempunyai kemudahan mesin penimbang kenderaan perdagangan.

Tambah Nadzim, budaya integriti yang tinggi perlu diterapkan kerajaan demi memerangi salah laku dalam kalangan penjawat awam.

Sementara itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, ketiadaan mesin pengimbang di ICQS tersebut mampu membuka ruang dan peluang anggota agensi penguatkuasaan yang bertugas menerima rasuah.

“Pihak pengimport dan anggota bertugas juga sudah tentu akan mengambil kesempatan untuk memudahkan urusan. Ini sesuatu yang serius dan kerajaan perlu bertindak dengan lebih cepat lagi,” jelasnya.

 

Artikel oleh : Utusan Malaysia

ICQS : PPIM AKUI TERIMA LAPORAN, MAKLUMAT