Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
IMPIAN WARGA BANGLADESH BUKA KILANG AISKRIM MUSNAH – KOSMO – 10/11/2021
10 Nov 2021

KUALA LUMPUR – Impian seorang lelaki warga Bangladesh mahu membuka kilang aiskrim di negara ini punah sekelip mata akibat ditipu ejen sindiket pemerdagangan orang dan pendatang asing tanpa izin (PATI) hingga dia kerugian RM20,000, enam tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Mosharaf, 37, sanggup menjual kilangnya di Comilla, Dhaka, Bangladesh berharga RM25,000 semata-mata mahu dijadikan modal bagi membuka kilang aiskrim di negara ini.

Mosharaf mendakwa, ejen sindiket warga Bangladesh itu memang dikenalinya dan dia berjanji untuk menguruskan perjalanan memasuki negara ini serta akan membantunya membuka kilang.

“Saya masuk ke negara ini menggunakan visa profesional (visa perniagaan) dan sebaik tiba di negara ini, saya dihantar ke sebuah rumah lima tingkat di Shah Alam yang dijadikan ‘transit’ dan terkejut mendapati sekumpulan lelaki Bangladesh lain turut berada di situ.

“Kami diugut akan dikurung tanpa makan dan minum selagi tidak menjelaskan bayaran yang diminta. Saya bernasib baik apabila isteri di Bangladesh membuat bayaran RM20,000 kepada ejen tersebut sebelum saya dibebaskan.

“Saya menghubungi rakan di Putrajaya dan cuba mencari pekerjaan, namun selepas enam bulan saya dapat kerja sebagai tukang cuci di sebuah kondominium di Ibu kota,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang akhbar Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Our Private Place, Kondominium Villa Puteri, dekat sini hari ini.

Sidang akhbar itu menyentuh berkenaan isu penipuan, penindasan dan salahlaku dalam pengambilan pekerja asing ke negara ini serta penglibatan syarikat swasta dalam permohonan pengambilan pekerja asing.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, sindiket berkenaan dipercayai berselindung di sebalik syarikat tempatan yang mana pengarah atau pemegang syer adalah rakyat tempatan dan mereka mengaut keuntungan berbillion ringgit menyebabkan kerajaan kerugian dari segi kutipan hasil cukai.

“Pada tahun 2015, terdapat syarikat swasta menguruskan pengambilan pekerja asing dan mereka akan berurusan dengan syarikat atau sindiket di negara sumber (negara asal pekerja) untuk mengutip bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi seorang pekerja untuk layak bekerja di negara ini.

“Justeru itu, saya minta kerajaan mengkaji semula sistem kemasukan pekerja asing ke negara ini termasuk tidak melantik pihak ketiga (syarikat swasta) sebagai ejen bagi menghapuskan kegiatan penyalahgunaan kuasa seumpama ini berlaku,” ujarnya.

Artikel oleh: Kosmo

IMPIAN WARGA BANGLADESH BUKA KILANG AISKRIM MUSNAH

https://www.kosmo.com.my/2021/11/10/impian-warga-bangladesh-buka-kilang-aiskrim-musnah/