Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
INTERVENSI KES BELLA SELARAS AKTA YANG BERKUAT KUASA – RINA – BERNAMA – 10/09/2021
11 Sep 2021

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Intervensi yang dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kes kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella, adalah selaras dengan akta yang berkuat kuasa.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam kenyataan berkata ia termasuk menyelamatkan kanak-kanak, menempatkannya di tempat selamat dan memberikan perlindungan, penjagaan serta pemulihan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

Selain itu, menyita pusat jagaan serta membantu pihak berkuasa dalam penyediaan laporan sosial kanak-kanak dan memberi keterangan diperlukan.

Dalam pada itu, Rina berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib Bella antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Wanita lkon Malaysia dan Persatuan Helping Shoulder, semalam.

“Pertemuan ini menjadi platform bagi mendengar pandangan dan suara NGO berkenaan,” katanya.

Rina juga berharap kes kanak-kanak itu dapat diadili mengikut lunas perundangan.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan kes adik Bella yang kini berada di bawah perlindungan, penjagaan dan pengawasan JKM. Alhamdulillah, berdasarkan pemantauan saya, adik Bella kini kembali ceria,” katanya.

Kisah Bella tular di laman sosial selepas seorang wanita dikenali sebagai Mona Din mendedahkan penderitaan kanak-kanak itu yang mengalami kesan lecur dan luka pada anggota badan dipercayai didera. Ekoran pendedahan itu, JKM bertindak menyita Rumah Bonda di Wangsa Maju di sini yang dikaitkan dengan kes terbabit.

Sementara itu, Rina menyeru rakyat Malaysia supaya terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU).

Katanya masyarakat juga perlu melaporkan kepada PDRM atau Talian Kasih 15999 dan talian WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam apabila mengetahui atau mengesyaki kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak.

Artikel oleh: Bernama

INTERVENSI KES BELLA SELARAS AKTA YANG BERKUAT KUASA – RINA

https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2001923