Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ISTERI GALAS TANGGUNGJAWAB SUAMI SARA KELUARGA – SINAR HARIAN – 07/04/2022
09 Apr 2022

HULU LANGAT – Seorang isteri menggantikan tugas suami mencari nafkah keluarga apabila pasangannya cedera akibat terjatuh dari pokok kelapa ketika bekerja pada dua tahun lalu.

Norasyura Nordin, 38, yang dahulunya seorang suri rumah kini bekerja menjual makanan sunnah secara dalam talian sejak detik hitam tersebut demi menyara keluarganya.

Namun begitu, Norasyura hanya dapat mengumpul sebanyak RM250 sebulan dan sebahagian hasil jualan tersebut disimpan untuk dijadikan modal niaganya.

Norasyura

“Sebelum ini yang kerja suami saya sahaja, tapi sejak dia terjatuh dari pokok kelapa, dia tidak boleh melakukan kerja berat.

“Kalau nak buat kerja lain seperti betulkan paip, dia perlu buat bersama rakannya,” katanya sambil terharu ketika menerima bantuan sempena Program Sinar Kasih Ramadan (SRK) anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kampung Sungai Serai, di sini pada Khamis.

Penerima lain, Umi Salamah Abd Rahman, 46, juga mengucapkan terima kasih kepada pihak YBK yang sudi memberi bantuan kepadanya sempena bulan Ramadan ini.

Dia yang mempunyai sembilan orang anak bersyukur dengan sumbangan tersebut yang dilihat mampu meringankan beban perbelanjaan keluarganya pada bulan mulia ini.

“Saya nak ucap terima kasih kerana membantu, dapatlah meringankan beban pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, sebanyak lapan buah keluarga diziarah oleh pihaknya bagi mengagihkan bantuan menerusi Program SRK tersebut.

Zainal Abidin ketika sidang media di Kampung Sungai Serai, di sini pada Khamis.

Katanya, setiap keluarga yang mempunyai minimum tiga orang anak menerima bantuan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM600, selain daripada bekalan makanan kering.

Tambahnya, lawatan dibuat terus ke rumah para penerima supaya pihaknya dapat melihat sendiri keadaan hidup keluarga mereka dan menentukan bentuk bantuan lain yang boleh diberikan pada masa akan datang.

“Setakat hari ini, kita berjaya mengumpul RM60,000 dan kita dapat agihkan kepada 100 keluarga, tapi kita berharap dapat agihkan kepada 200 orang. Oleh itu, satu platform yang dibina untuk mengumpulkan dana yang dipanggil sebagai sumbangan.com.

“Jadi kalau ada sesiapa di luar sana yang berhajat untuk memberikan sumbangan boleh melayari laman sesawang tersebut, yang mana mereka boleh salurkan dana ke Program Sinar Kasih Ramadan YBK.

“Tapi jika ada mana-mana pihak yang ingin menyumbang namun terdapat kekangan masa atau tidak mempunyai kenderaan, hantar ke YBK kerana kita sedia menyampaikan sumbangan ini berdasarkan senarai yang ada,” katanya.

Turut hadir semasa agihan sumbangan tersebut pada Khamis ialah Pengerusi Program Sinar Kasih Ramadan, Datin Dr Hartini Osman dan Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Artikel oleh: Sinar Harian

ISTERI GALAS TANGGUNGJAWAB SUAMI SARA KELUARGA

https://www.sinarharian.com.my/article/196748/EDISI/Isteri-galas-tanggungjawab-suami-sara-keluarga