KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu semua pihak menggunakan saluran yang betul dalam usaha mendapatkan penyelesaian terbaik dalam isu yang membelenggu pembangunan di Kampung Sungai Baru.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya ada menerima maklumat sebahagian kumpulan majoriti penduduk yang bersetuju dan telah berpindah keluar sejak menerima arahan mahkamah.
Bagaimanapun katanya, PPIM juga sedia maklum ada sebahagian penduduk yang tidak bersetuju dengan tawaran pihak pemaju dan telah membuat rayuan ke mahkamah berhubung isu pampasan.
“Saya yakin komitmen yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mampu menyelesaikan masalah ini.
“Ini kerana, beliau telah turun padang dan berjumpa dengan kedua-dua pihak yang terlibat dan saya difahamkan individu di dalam video tersebut tidak turut serta di majlis yang diadakan pada 27 Mei 2024 dan 13 Jun 2024 tempoh hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, tular satu video yang memaparkan pelakon dan penyanyi, Rafidah Ibrahim meminta penduduk Kampung Sungai Baru supaya jangan pindah dan serah tanah.
Rafidah dilihat menaiki sebuah kenderaan mengelilingi kawasan Kampung Sungai baru sambil melontarkan bantahan dengan menggunakan pembesar suara.
Nadzim menegaskan video tular baru-baru ini tidak mewakili pandangan pihak dan aktivis PPIM di Kampung Sungai Baru.
Pada masa sama, PPIM menawarkan diri untuk bersama-sama berada dengan pihak yang berkepentingan untuk bermusyawarah dan mendengar daripada semua pihak agar informasi yang betul dapat dijelaskan kepada orang awam.
“Masalah ini telah berlanjutan dari tahun 2016, melibatkan tiga menteri sebelum Dr Zaliha lagi. Maka lagi cepat kita duduk bersama lagi cepat kita mendapat persefahaman,”jelasnya.
Nadzim memberitahu kerjasama semua pihak adalah perlu dan tidak mahu isu itu dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, PPIM juga mahukan libat urus bersama pemegang taruh di Kampung Sungai Baru bukan sekadar isu pengambilan tanah tetapi juga pembangunan sosio ekonomi, keselamatan, penjagaan alam dan pembangunan insan seiring dengan konsep Malaysia Madani.
“PPIM berharap Kampung Baru kekal menjadi Kampung Melayu biarpun di celah-celah kemajuan Kuala Lumpur.
“Kita tidak dapat lari dari pembangunan namun jangan sampai hilang identiti jati diri dan hanya tinggal sekadar sejarah sahaja,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
ISU KAMPUNG SUNGAI BARU: PPIM MAHU SEMUA PIHAK GUNA SALURAN BETUL