SHAH ALAM, 9 Feb 2022 – Wakil 400 penjaja kecil daerah Sepang menemui Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi meminta dipanjangkan had tempoh sewaan perniagaan.
Ia berikutan keadaan peniaga-peniaga yang terjejas teruk dan terkesan pendapatan mereka akibat dua tahun berhadapan ancaman pandemik Covid-19.
Terdahulu, ratusan peniaga di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Cyberjaya, mendakwa teraniaya apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengehadkan tempoh sewaan kepada 10 tahun tanpa pampasan serta tapak perniagaan baru.
Sehubungan itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak, Jahari Ibrahim memohon kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk berunding dengan Amirudin agar satu penyelesaian dapat dicapai.
Amirudin meluangkan masa hampir sejam mendengar luahan dan cadangan tempoh had masa kumpulan peniaga-peniaga berkenaan
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati yang juga setiausaha politik MB Selangor, Juwairiya Zulkifli dan Pegawai Khas Komunikasi PPIM, Gulab Jan Fazal Eladi.
Difahamkan, Amirudin akan memaklumkan tindakan lanjut dalam waktu terdekat.
Untuk rekod, tempoh mengehadkan sewaan itu adalah dasar baharu MPSepang bagi memberi peluang kepada peniaga lain berniaga di premis seliaan mereka itu.
Bagaimanapun, polisi itu dilihat tidak sesuai dalam situasi tekanan ekonomi dan rakyat belum pulih sepenuhnya.
Difahamkan, antara cadangan yang dipertimbangkan MB Selangor adalah ‘review’ terlebih dahulu situasi peniaga sebelum ruang niaga itu diambil alih.
Ia bermakna jika status peniaga masih terjejas, maka peluang niaga akan dipanjangkan.
Artikel oleh: Wacanakini
ISU KENA HALAU: PENJAJA SEPANG JUMPA MB SELANGOR
https://www.wacanakini.com/2022/02/isu-kena-halau-penjaja-sepang-jumpa-mb-selangor/