Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ISU KUIL DI DAMANSARA DAMAI: BANTAHAN PENDUDUK BUKAN MASALAH, SEMUA PIHAK WAJIB TURUN PADANG – THE MERDEKA TIMES – 09/08/2022
09 Aug 2022

  • Penduduk di Damansara Damai berhak suarakan bantahan terhadap pembinaan kuil di kawasan tempat tinggal mereka, tegas ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
  • Nadzim meminta semua pihak terbabit termasuk MBPJ, turun padang menjelaskan keadaan, khususnya mengenai status pembinaan kuil yang menimbulkan keresahan penduduk setempat itu.
  • 5,000 penduduk di Damansara Damai membantah pembinaan kuil dua tingkat itu di kawasan majoriti Islam atas beberapa faktor antaranya keadaan jalan utama sempit dan lokalitinya membabitkan kawasan majoriti orang Islam.

KUALA LUMPUR – Penduduk di Damansara Damai berhak untuk membantah pembinaan kuil di kawasan terbabit memandangkan lokasi dicadangkan membabitkan kawasan tempat tinggal mereka.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, beliau tidak melihat bantahan penduduk terhadap pembinaan kuil di kawasan majoriti orang Islam itu sebagai satu masalah.

Sebaliknya, beliau menegaskan semua pihak terbabit, termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perlu turun padang untuk menjelaskan keadaan.

“Kita nak buat masjid kena ada kelulusan. Jangan kata masjid, surau pun kena ada kelulusan. Begitu jugalah dengan kuil ini. 

“Disebabkan status kebenaran pembinaan yang tidak jelas, situasi pun sudah jadi begini, kita kena lah turun padang untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada The Merdeka Times ketika dihubungi di sini sebelum ini.

Nadzim berkata demikian ketika mengulas isu bantahan pembinaan sebuah kuil di Damansara Damai oleh penduduk setempat yang mendapat perhatian ramai sejak awal bulan ini.

Sesi penerangan khas berhubung isu pembinaan kuil di Damansara Damai itu telah diadakan pihak berwajib pada 5 Ogos lalu di Dewan Apartmen Impian, bagaimanapun kegagalan MBPJ menghantar wakilnya menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk setempat. 

“Tak boleh lah macam tu. MBPJ ini tugas dia menguruskan. Jadi, pihak MBPJ perlu lebih tegas dalam menguruskan urusan berkaitan isu bantahan pembinaan kuil ini,” kata Nadzim ketika mengulas ketidakhadiran wakil pihak berkuasa tempatan itu pada sesi penerangan khas dikendalikan pihak polis.

Usaha The Merdeka Times untuk mendapatkan maklum balas MBPJ sejak 3 Ogos lalu masih gagal, malah pegawai yang berjaya dihubungi semalam hanya menjawab beliau tidak tahu mengenai isu pembinaan kuil di Damansara Damai itu.

The Merdeka Times pada 3 Ogos lalu mendedahkan mengenai bantahan 5,000 penduduk Damansara Damai terhadap pembinaan kuil di kawasan majoriti penduduk beragama Islam itu. 

Ini merupakan kali ketiga bantahan dibuat penduduk sejak 2017 dan bantahan kedua pada 2019 menyebabkan pembinaan kuil itu ditangguhkan sementara. 

Pembinaan kuil itu dibantah penduduk setempat atas tiga alasan iaitu jalan keluar masuk sempit; majoriti penduduk Apartmen Impian adalah Melayu/Islam dan ketiga; kebimbangan pengunjung luar tidak sensitif bila mengunjungi kuil itu (jika dibina) sekaligus ancaman risiko ketenteraman penduduk setempat.

Pihak polis sebelum ini menasihatkan kepada semua pihak, termasuk penduduk setempat, untuk menjaga ketenteraman awam berhubung isu bantahan pembinaan kuil di Damansara Damai itu. 

Difahamkan kuil dua tingkat itu mempunyai kapasiti 2,000 orang iaitu jauh lebih rendah daripada populasi penganut Hindu di kawasan terbabit, menyebabkan perkara itu antara persoalan diajukan penduduk setempat ketika sesi penerangan 5 Ogos lalu. 

Artikel oleh: The Merdeka Times

ISU KUIL DI DAMANSARA DAMAI: BANTAHAN PENDUDUK BUKAN MASALAH, SEMUA PIHAK WAJIB TURUN PADANG

https://themerdekatimes.com/blog/2022/08/isu-kuil-di-damansara-damai-bantahan-penduduk-bukan-masalah-semua-pihak-wajib-turun-padang-ppim/?fbclid=IwAR2g_vqrsfgiJBU94nNH8xQh0NeVBgJuvZM5b3SaLqV_-MrVtVM8vubGYWs