Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘ISU PALESTIN INI MERUNTUN JIWA, KENAPA KETAWA’ – NGO – HARIAN METRO – 13/10/2023
13 Oct 2023

Kuala Lumpur: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membidas netizen yang mempersenda berita pengeboman dan kemusnahan Masjid Muhammad Al Amin di Palestin.

Ia disifatkan sebagai tidak sensitif selain sengaja menimbulkan kemarahan umat Islam yang kini sedang berduka dan bersolidariti dengan nasib menimpa penduduk negara itu.

Presiden Pertubuhan Usahawan Islamiah Malaysia (USAMIAH), Tengku Imran Tengku Zainal Abidin berkata, tindakan terbabit tidak menghormati terhadap sensitiviti agama yang majoriti beragama Islam di Malaysia.

“Tindakan mempersenda dan mempermainkan isu masjid adalah suatu perkara serius serta mengaibkan umat Islam kerana ia simbolik bagi agama Islam dan tidak selari dengan dasar kerajaan Madani untuk mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang saling menghormati antara satu sama lain.

“Kami yang beragama islam berasa kecewa dan berdukacita ke atas penghinaan oleh individu terbabit.

“Kami berharap agar individu yang mempersenda isu kemusnahan masjid untuk tampil dan membuat satu kenyataan permohonan maaf kepada seluruh umat Islam terutamanya terhadap rakyat Palestin yang selama ini telah menderita dan sengsara atas kezaliman dan kekejaman rejim zionis Israel.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memainkan peranan dengan mengeluarkan amaran tegas dalam isu seumpama itu.

“Ini isu yang sensitif, bukan di Malaysia malah seluruh dunia Islam. Ada negara bukan Islam pun simpati dengan isu ini.

“Kenapa dibiarkan ada puak-puak yang sengaja mentertawakan pembantaian oleh rejim zionis ini. Perlu ada tindakan,” katanya.

Semalam, tular di media sosial komen-komen dari netizen yang mempersenda kejadian pengeboman masjid di Palestin di Facebook.

Komen berkenaan menimbulkan situasi kurang senang umat Islam di negara ini yang menyifatkan ia sebagai melampau dan tidak kena dengan situasi semasa.

Artikel oleh: Harian Metro

‘ISU PALESTIN INI MERUNTUN JIWA, KENAPA KETAWA’ – NGO

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1019572/isu-palestin-ini-meruntun-jiwa-kenapa-ketawa-ngo