KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan sekeras-kerasnya ciapan seorang individu bernama Januar Haikal yang mendakwa PPIM menerima baik penjelasan oleh restoran makanan segera McDonalds Malaysia mengenai isu Palestin.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bersetuju McDonalds.
“Pendirian PPIM konsisten dengan isu Palestin ini dan kami amat tegas menentang sebarang kezaliman yang dilaksanakan oleh regim Zionis Israel terhadap negara itu,” tegasnya.
Oleh itu, PPIM menuntut pemilik akaun ‘X’ yang menggunakan nama Januar Haikal untuk memberikan penjelasan dan membetulkan kenyataan mereka.
“Apakah beliau ada kepentingan dalam McDonalds Malaysia sehingga terdesak membuat kenyataan begitu?” katanya.
Nadzim berkata Januar Haikal juga harus tampil untuk memberikan penjelasan tentang kenyataannya itu yang juga membabitkan organisasi-organisasi lain termasuk MYCARE, Aqsa Syarif, Palestine Centre of Excellence dan Viva Palestina Malaysia yang mempunyai pendirian yang sama terhadap isu Palestin ini.
“Kami memberikan tempoh selama seminggu kepada Januar Haikal untuk berbuat demikian atau menghadapi tindakan undang-undang.
“Sehingga kini kami masih bersama ratusan malahan ribuan organisasi yang menentang kekejaman negara haram Israel terhadap agama Islam dan kemanusiaan di Palestin dan akan bertindak secara bijak terhadap mana-mana entiti perdagangan dan kewangan yang menyokong kezaliman ini,” katanya.
Nadzim menegaskan PPIM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menerima apatah lagi merestui kenyataan sebuah entiti perniagaan yang berbau Zionis apatah lagi yang secara terang-terangan memberikan sokongan terhadap tentera penceroboh Zionis.
PPIM juga akan melancarkan gerakan memboikot secara selektif dan besar-besaran terhadap produk-produk yang secara terang-terangan dan dipercayai menyokong perjuangan Zionis dan McDonalds Malaysia tidak terkecuali.