Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ISU PENGANGKUTAN DARAT: PPDM TUNGGU RESPONS PARTI POLITIK – MALAYSIA GAZETTE – 02/02/2022
03 Feb 2022

CYBERJAYA – Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) tidak berhasrat untuk didaftarkan sebagai parti politik sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi parti-parti politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Aktivisnya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pihaknya perlu menunggu maklum balas daripada parti-parti politik sebelum membuat sebarang tindakan selanjutnya.

“Kami yakin dalam banyak parti yang akan bertanding dalam PRU15 nanti, ada satu atau dua parti benar-benar tulus ikhlas nak menyelesaikan masalah rakyat termasuk masalah kami.

“Saya tak tahulah UMNO ker… PKR ker… tak kisah lah tapi semua parti kita telah hantar surat.

“Ada yang datang, ada yang tak datang, tak dapat dihubungi dan sebagainya, jadi kita tunggu dan lihat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyerahkan memorandum PPDM tuntutan pemain industri E-Hailing, P-Hailing, lori dan bas kepada wakil-wakil parti politik.

Hadir sama Pengarah Komunikasi PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Setiausaha Kerja Bersatu Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria.

Manakala memorandum sama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diserahkan kepada wakil pemimpin negara itu di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, jam 3 petang ini.

Dalam pada itu, Kamarudin juga berkata, sekiranya PPDM dijadikan parti politik, ia hanya akan menyebabkan ahli persatuan itu berpecah-belah kerana ramai di antara mereka berada di dalam parti sedia ada.

“Dalam keadaan hari ini kita perlu melihat beberapa aspek, kita kena faham rakan-rakan kita mempunyai fahaman politik yang berbeza-beza.

“Ada rakan-rakan kita yang mempunyai jawatan dalam parti, kalau kita wujudkan parti kemudian dia nak sertai parti kita, ia boleh mewujudkan perpecahan di antara kita,” katanya.

Katanya lagi, serahan memorandum itu sendiri akan membuktikan parti politik mana yang benar-benar akan memperjuangkan tuntutan mereka.

“Kita akan buktikan kepada mereka, sekarang kita sudah serah memorandum, parti kamu pun kami dah serah, sekarang parti kamu nyata tidak menyelesaikan masalah kamu.

“Kamu nak sokong dia lagi, apa yang kami buat ini banyak serangan yang boleh membuka minda.

“Sebab itu tak perlu kita buat parti politik sekarang, kita pun tak nak wujudkan terlalu banyak perpecahan parti,” katanya lagi.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

ISU PENGANGKUTAN DARAT: PPDM TUNGGU RESPONS PARTI POLITIK

https://malaysiagazette.com/2022/02/02/isu-pengangkutan-darat-ppdm-tunggu-respons-parti-politik/