Kuala Lumpur: Satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis akan dibuat Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) berhubung isu pusat sembelihan yang menjadi isu di Australia.
Presidennya, Faizan Mohd Noor berkata, pihaknya mengambil langkah itu untuk menggesa siasatan segera ke atas isu pusat sembelihan meragukan berkenaan.
Katanya, ia membabitkan integriti pegawai terbabit yang sepatutnya menjaga persoalan pengurusan halal sebaik mungkin.
“Setakat ini Pekemas masih menunggu hasil siasatan Jakim seperti yang dilaporkan Ketua Pengarah sebelum ini.
“Laporan kepada autoriti ini penting kerana ia membabitkan pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pusat penyembelihan di luar negara.
“Tindakan pantas dan segera perlu diambil berdasarkan semua bukti yang dikemukakan pada sesi sidang media oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pekemas,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, PPIM dan Pekemas mendedahkan mengenai pelanggaran protokol penyembelihan seperti digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP) Jakim.
Ia didakwa berlaku di sebuah pusat sembelihan di Australia.
Pada sidang media itu, seorang saksi mendakwa binatang sembelihan direndam sehingga lemas di dalam gumpalan darah.
Selain itu seorang saksi turut mendakwa persekitaran pusat sembelihan itu dipenuhi anjing liar serta pekerja tidak mengamalkan ajaran Islam termasuk meminum minuman beralkohol.
Di dalam maklum balas sebelum ini, Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE).
Artikel oleh: Harian Metro
ISU PUSAT SEMBELIHAN: PEKEMAS AKAN LAPOR SPRM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/841190/isu-pusat-sembelihan-pekemas-akan-lapor-sprm