PETALING JAYA: Penglibatan pihak tertentu dalam isu ketidakpatuhan rumah sembelih haiwan di Australia akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis jika tiada tindakan diambil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor berkata, beliau tidak teragak-agak berbuat demikian jika Jakim melengah-lengahkan penyelesaian isu itu.
Ini kerana menurut beliau, integriti pegawai Jakim yang memantau pusat sembelih itu boleh dipersoalkan menerusi pendedahan dibuat sebelum ini termasuk menerusi maklumat pekerja serta rakaman video.
Apa yang mendukacitakan, kata beliau, Jakim masih tidak melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci biarpun pihaknya mempunyai pelbagai bukti pelanggaran protokol penyembelihan.
Dakwaan
Malah, beliau berkata, Jakim dalam masa sama tidak menafikan keseluruhan dakwaan yang dinyatakan dalam laporan akhbar Utusan Malaysia sebelum ini, sebaliknya hanya menjelaskan turutan insiden yang berlaku sejak 1 April lalu.
“Jakim hanya menjelaskan bahawa Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) mengadakan audit berkala terhadap pusat sembelihan itu dan pihak berkuasa Australia dalam masa sama memberi respon bahawa pihaknya memandang serius isu ini.
“Malah, apa yang menjadi tanda tanya, Jakim tidak berjumpa dengan saya biarpun mereka mengatakan akan berbuat demikian dalam siaran akhbar sebelum ini. Walhal kami bersedia untuk bersemuka.
“Yang penting jangan lihat kami sebagai musuh. Lagipun segala bukti jelas dan saya yakin serta percaya terdapat beberapa isu moral yang perlu didedahkan,” katanya dalam sidang akhar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Sahaba 99, di sini semalam.
Utusan Malaysia pada 14 April lalu mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Selepas pendedahan itu, bekas pekerja yang juga sumber utama tampil membuat pengakuan dan menceritakan hal sebenar menerusi persidangan video dalam sidang akhbar itu semalam.
Sumber yang dikenali sebagai Abdullah mendakwa, rumah sembelihan itu tidak mematuhi protokol sah halal dan segala prosedur penyembelihan adalah jijik serta kotor.
Menurutnya, ia tidak sebagaimana yang sepatutnya ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA).
Dalam pada itu, Faizan turut menggesa agar rombakan dibuat terhadap segelintir pegawai Jakim yang terlibat dalam proses perakuan sijil halal membabitkan pusat penyembelihan berkenaan.
“Kami tahu ada dua atau tiga orang pegawai Jakim yang berkemungkinan besar terlibat dalam isu membabitkan masalah integriti serta moral.
“Justeru, kami harap Jakim rombak dan tukarkan pegawai yang terlibat dalam urus niaga ini.
Kaedah
Sementara itu, Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, Jakim perlu melihat kembali segala kaedah dan cadangan yang pernah dibentangkan kepada mereka bagi mengenal pasti produk halal terutama membabitkan daging.
Kata beliau, walaupun pihaknya telah berkali-kali melakukan pendedahan berkaitan kartel daging, namun tidak ada penyelesaian dan tindakan diambil sekali gus mempersoalkan adakah pihak yang terlibat mempunyai kepentingan tertentu untuk mendiamkan isu ini.
Justeru, katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa isu ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika tidak menemui jalan penyelesaian sedangkan pusat penyembelihan itu adalah diiktiraf Kerajaan Malaysia.
Pada masa sama, beliau berkata, dalam isu kemasukan daging halal ke negara ini, satu sistem halal perlu dibangunkan yang mana pengguna boleh menyemak status daging itu bermula dari ladang sehingga ke meja makan.
“Melalui sistem ini pengguna dengan mudah boleh menyemak melalui teknologi block chain dengan imbasan kod QR untuk mengetahui terperinci setiap daging yang dibeli dan dimakan,” katanya.- UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
ISU RUMAH SEMBELIH: PEKEMAS MAHU LAPOR KE SPRM, POLIS
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/isu-rumah-sembelih-pekemas-mahu-lapor-ke-sprm-polis/