Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JAKIM TIDAK IKTIRAF AHDAA – UTUSAN MALAYSIA – 15/07/2022
15 Jul 2022

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan Akredi­tasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) bukan badan pensijilan halal yang diiktiraf pihaknya ketika ini.

Dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, Sekreta­riat Majlis Halal Malaysia Jakim memaklumkan, sehubungan itu, mana-mana rumah sembelih di bawah seliaan AHDAA tidak dibenarkan mengeksport produk daging mereka ke Malaysia.

Jelasnya, perkara itu tertakluk kepada Perintah 5 (1), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu semua makanan dan barang-barang import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan sudah diperakukan halal oleh badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

BERHATI-HATI

“(Bagaimanapun) Jakim mengambil maklum terhadap saranan supaya berhati-hati dalam memberi pengiktirafan kepada rumah sembelih halal luar negara.

“Jakim juga berterima kasih atas maklumat yang diberikan berkaitan ketidakpatuhan rumah sembelih halal luar negara ini dan mengambil maklum mengenai perkara ini,” katanya di sini semalam.

Akhbar ini sejak Selasa lalu mendedahkan pengakuan tiga bekas pekerja berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di Brisbane, Queensland selepas isu sama berlaku di Thomas Food Industries (TFI) di Lobethal, Australia.

Rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal AHDAA itu menggunakan kaedah stunning iaitu menem­bak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disem­belih.

Namun cara berkenaan boleh mengakibatkan tempurung kepala haiwan pecah jika tidak dilakukan dengan betul, sekali gus mengakibatkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.

AHDAA dikatakan dalam proses mendapatkan kelulusan halal daripada Jakim untuk membenarkan produk daging dari semua rumah sembelihan di bawah penyeliaan mereka memasuki pasaran Malaysia.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persa­tuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa Jakim melantik pasukan pemantau di rumah-rumah sembelihan di luar negara bagi mengelak insiden pelanggaran protokol sembelihan halal dan isu daging import yang diragui status halalnya.

Timbalan Pre­siden Gabu­ngan Persatuan-Per­satuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman pula meminta kerajaan mengambil iktibar insiden terdahulu dan mengetatkan proses pemantauan di rumah-rumah sembelihan.

Jika protokol halal ditetapkan gagal dipatuhi, Jakim perlu memberi amaran kepada badan pensijilan halal terlibat atau menamatkan perkhidmatan serta-merta.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

JAKIM TIDAK IKTIRAF AHDAA

https://www.utusan.com.my/berita/2022/07/jakim-tidak-iktiraf-ahdaa/