Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘JANGAN MAIN-MAIN SOAL HALAL HARAM’ – HARIAN METRO – 09/04/2022
11 Apr 2022

Kuala Lumpur: Persoalan mengenai hukum menggunakan bahan haram ketika darurat hanya boleh dikeluarkan oleh mereka yang berkelayakan serta berautoriti, bukannya secara sewenang-wenangnya oleh sesiapa saja.

Ia perlu ditentukan oleh pakar yang arif mengenai soal halal haram termasuk bagi tujuan rawatan kecantikan atau kosmetik.

Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, perkara yang ditentukan haram di sisi Islam tidak boleh dihalalkan begitu saja.

“Perkara darurat atau tidak ditentukan oleh pakar atau yang ada autoriti seperti mufti-mufti atau alim ulama.

“Justeru, pengasas dan pengguna produk kecantikan tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan bahan haram untuk tujuan kecantikan seperti rawatan muka,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi nasihat kepada seorang pengguna TikTok kerana menghasilkan bahan mengelirukan.

Ia selepas pemilik akaun itu memuat naik rakaman video mendakwa produk mengandungi bahan daripada babi hanya haram dimakan dan dibolehkan untuk rawatan.

Mohd Izhar Ariff berkata, sebarang rawatan berkaitan juga perlu melalui doktor pakar yang tahu hukum dan memahami batas syarak.

Beliau menasihatkan sesiapa juga yang terbabit dalam industri kecantikan agar tidak melampaui batas dan jangan sesekali cuba menghalalkan apa yang jelas diharamkan Allah SWT.

“Mesti rujuk mufti-mufti, jangan main-main. Dalam isu vaksin pun ilmuan kita begitu teliti mengenai halal haram, begitu juga barangan kosmetik.

“Untuk rawatan kecantikan tak sampai ke tahap darurat lagi. Manusia tak mati kalau ada jerawat di wajah, jadi tak semudah itu untuk menggunakan bahan yang haram.

“Kalau guna juga, mesti dapatkan penjelasan mufti bahawa penggunaan bahan itu sudah sampai ke tahap darurat dan jika tidak diguna, boleh menyebabkan kematian atau lumpuh anggota tubuh. Jika tidak, ia akan mengundang kekeliruan,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

‘JANGAN MAIN-MAIN SOAL HALAL HARAM’

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/04/830122/jangan-main-main-soal-halal-haram