Saudara Pengarang,
KIRA-KIRA dua juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ini pastinya sedang mencongak untuk mengeluarkan wang maksimum RM10,000 selepas diberi kelonggaran oleh kerajaan.
Bagi yang terkesan, wang itu mungkin kurangkan beban.
Bagaimanapun, dalam keghairahan, pengguna diingatkan agar sentiasa berhemah dalam penggunaan wang tersebut selain hanya mengeluarkan amaun yang diperlukan serta tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan.
Setiap daripada kita memahami tekanan yang dihadapi rakyat, namun pada masa sama semua turut bimbang dengan sikap segelintir pengguna tidak berdisiplin dalam menguruskan kewangan sendiri.
Oleh itu, pencarum dinasihatkan agar mengeluarkan wang mengikut keperluan supaya jika berlaku kecemasan yang lain, mereka boleh membuat pengeluaran yang lain.
Kunjungilah mana-mana cawangan KWSP bagi mendapatkan khidmat nasihat pengeluaran sebelum tempoh permohonan dibuka supaya lebih faham situasi kewangan masing-masing.
Pencarum juga dinasihatkan agar tidak beremosi, bersikap terbuka dalam menerima nasihat pakar-pakar ekonomi dan membuat pilihan yang bijak demi kelangsungan hidup.
Elakkan berbelanja berlebihan untuk musim perayaan akan datang dan berbelanja secara sederhana untuk persiapan persekolahan adalah amalan yang baik, jika tiada keperluan mendesak, lebih elok wang itu disimpan untuk masa hadapan.
DATUK NADZIM JOHAN
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
Artikel oleh: Kosmo
JANGAN SALAH GUNA WANG RM10,000 KWSP, DAPATKAN NASIHAT KEWANGAN