Pengumuman hasil siasatan rasmi berkenaan insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini amat mengecewakan bagi ramai pihak. Lebih menjengkelkan ialah bagaimana pengumuman tersebut meletakkan punca kejadian kepada pergerakan tanah, seolah-olah masalah ini berlaku secara semula jadi tanpa sebarang kaitan dengan pembangunan manusia. Tiada penerangan lanjut tentang apa yang menyebabkan tanah itu bergerak. Tiada analisis teknikal yang dikongsikan secara mendalam tentang faktor-faktor sekeliling. Kebertanggungjawaban konkrit daripada pihak-pihak yang kompeten juga tiada diberikan.
Penduduk yang terkesan yang telah melalui saat-saat ngeri dan kehilangan tempat berteduh berhak menuntut penjelasan – bukan sahaja mengenai apa yang berlaku, tetapi juga siapa yang akan bertanggungjawab untuk memulihkan semula kehidupan mereka. Namun, di sebalik pelbagai reaksi terhadap cara siasatan itu diumumkan dan soalan-soalan yang tidak dijawab berkenaan kerja-kerja di sekitar kawasan paip gas, beberapa isu penting nampaknya terus disisihkan dari perbincangan umum.
Antara yang paling membimbangkan ialah bagaimana pembangunan boleh diluluskan dengan begitu hampir kepada kawasan infrastruktur kritikal seperti paip gas, pencawang atau menara elektrik, lebuhraya bertingkat atau landasan LRT. Apakah pertimbangan keselamatan telah diambil kira oleh pihak berkuasa tempatan? Apakah pemaju telah membuat analisis impak jangka panjang? Atau adakah semua proses ini hanya bersandarkan kelulusan teknikal tanpa melihat kepada risiko sebenar terhadap komuniti sekeliling?
Lebih mengecewakan, ramai pembeli rumah mendakwa mereka tidak dimaklumkan langsung tentang kewujudan paip gas ini semasa proses jual beli. Ini bukan perkara remeh. Ini adalah soal hak. Pembeli berhak tahu jika hartanah yang mereka beli terletak bersebelahan dengan infrastruktur berisiko tinggi. Jika perkara asas seperti ini pun tidak didedahkan, bagaimana mereka boleh membuat keputusan yang bijak sebagai pengguna?
Selain itu, timbul pula isu pelaksanaan kerja-kerja pemulihan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan rancangan untuk membina semula rumah-rumah yang musnah dengan dana kerajaan dan sumbangan daripada pemilik infrastruktur berkenaan. Namun, sudah berbulan-bulan berlalu dan kerja-kerja masih belum berjalan lancar, khususnya di Taman Putra Harmoni. Beberapa kenalan saya yang tinggal di kawasan tersebut meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan yang masih tidak menentu. Mereka masih tidak tahu apakah langkah seterusnya, dan komunikasi efektif dengan pihak bertanggungjawab hampir tidak wujud.
Apa yang lebih menghairankan, kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pemulihan ini merupakan kontraktor yang dilantik oleh pemaju asal – iaitu pihak yang sama yang didakwa gagal memaklumkan tentang kehadiran paip gas sejak awal lagi. Kini, pihak pemaju berkenaan telah diberi mandat oleh KPKT, untuk membina semula rumah-rumah mangsa dengan dana yang disebutkan tadi. Malah, ada penduduk yang mengalami kerosakan sepenuhnya kepada rumah mereka, juga mendakwa ada di antara mereka yang dimaklumkan bahawa cuma kerja-kerja pembaikan akan dijalankan ke atas rumah mereka berbanding ‘pembinaan semula’ seperti yang dinyatakan sebelum ini – walaupun struktur rumah mereka sudah jelas musnah.
Ada juga mangsa yang dimaklumkan oleh kontraktor bahawa pendawaian elektrik dalam rumah mereka tidak termasuk dalam skop kerja, dan ada yang dimaklumkan bahawa paip air di dalam rumah akan dipasang secara luaran, di atas lantai – bukan di bawah seperti biasa. Jubin lantai tidak akan dipasang, dan lantai hanya akan disimen dan dicat. Bumbung rumah yang rosak hampir separuh pula hanya akan dibaiki secara separa. Semua ini bukan sahaja menjengkelkan, malah menjatuhkan maruah dan hak mangsa. Lebih menyedihkan, mereka diminta menandatangani ‘surat setuju terima’ yang menggugurkan hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang – walhal butiran kerja pun masih belum jelas.
Dan di tengah-tengah semua kekeliruan ini, ‘tanah’ terus dipersalahkan. Tapi tiada siapa menjawab soalan sebenar – mengapa tanah itu bergerak atau mendap sehinggakan paip gas boleh pecah? Bukankah kawasan itu dulunya mempunyai aliran sungai? Ke mana air itu dialihkan semasa pembangunan projek perumahan? Bagaimana pula dengan sistem saliran dan pembetungan pembangunan perumahan? Semua ini memerlukan siasatan terperinci – bukan diketepikan dengan mempersalahkan gerakan tanah.
Di seberang kawasan perumahan pula, kerja-kerja pembangunan oleh pemaju lot kedai juga seharusnya menimbulkan tanda tanya. Ada laporan tentang ketidaktelusan dalam proses kelulusan dan kebenaran merancang. Namun sehingga kini, tiada penjelasan yang diberikan.
Yang pasti, apabila semuanya gagal dijawab, ‘tanah’ dipersalahkan. Begitu mudahnya melarikan diri daripada tanggungjawab sebenar.
Adakah kajian impak alam sekitar, EIA, ada dilakukan di kawasan tersebut?
Kita tidak boleh terus membiarkan perkara ini berlaku. Di sebalik semua laporan teknikal dan permainan salah-menyalah ini, penduduk di kawasan berkenaan telah kehilangan segalanya – rumah, keselamatan, dan keyakinan terhadap sistem. Apakah kita mahu berdiam diri dan membiarkan mereka terkapai-kapai tanpa harapan?
Saya menyeru semua pihak yang terlibat – baik kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju, mahupun syarikat pemilik infrastruktur – hentikan permainan persepsi dan mula bertindak. Ini bukan semata-mata soal membaiki rumah, tetapi membina semula kepercayaan rakyat. Tanggungjawab ini bukan boleh dipindah atau dipersalahkan antara satu sama lain. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti ditunaikan, sekarang – bukan esok.