Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2663) JANGAN SAMPAI PEMANDU TEKSI JADI PEROMPAK – KATA PPIM – 6/4/16
06 Apr 2016

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya tidak lagi berdiam diri dan segera menyelesaikan kemelut antara pemandu teksi dan pengusaha perkhidmatan kereta Uber dan Grab Car.

Pengerusinya Datuk Nadzim Johan berkata keadaan semakin menghimpit kehidupan pemandu teksi sehingga ada yang kehilangan lebih separuh daripada sumber pendapatan mereka.

“Bila tak diregulasasikan (Uber dan Grabcar), pendapatan pemandu teksi dah kurang. Kita takut pemandu teksi akan tertekan. Bila dia tertekan, kita lihat hari ini, pendapatan dah kurang.
“Mungkin terpaksa akan mencuri dan merompak sebab tak cukup pendapatan,” katanya dalam sidang media di pejabat PPIM, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini isu mengenai perkhidmatan Uber dan GrabCar yang berasaskan aplikasi atas talian menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu teksi.

Malah dalam beberapa kejadian ada pemandu teksi bertindak kasar dengan menahan dan merosakkan kenderaan pemandu Uber dan GrabCar kerana dikatakan mengancam sumber pendapatan mereka.
Terbaru kira-kira 300 pemandu teksi melancarkan mogok hingga melumpuhkan aliran trafik di Bukit Bintang, akhir Mac lalu.

Kata Nadzim pemandu teksi enggan menunggu keputusan SPAD yang ‘terlalu lama’ mengkaji dan membiarkan sahaja kemelut antara kedua pihak berterusan tanpa melakukan apa-apa tindakan.

“Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa garis panduan saya diberitahu dia (SPAD) akan buat garis panduan. Kita nak satu atau dua tiga formula supaya semua pihak dalam keadaan baik,” katanya.

Sidang media hari ini turut disertai beberapa persatuan teksi yang mendesak supaya Uber dan GrabCar terus diharamkan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Teksi 1 Malaysia (Pers1m) Kamarudin Mohd Husain berkata kerajaan dan agensi berkaitan sepatutnya memperkasakan pemandu teksi yang telah berkhidmat dengan baik di negara ini.

“Sekiranya Uber atau GrabCar ni bagus, kerajaan buat pengumuman minta kami pulangkan teksi dan lesenkan kami guna kereta persendirian untuk buat Uber dan GrabCar ini,” katanya.

Sumber : http://ift.tt/1VwkZrc

Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/