“Saya hanya mahu mendapatkan kerja yang lebih baik untuk membantu keluarga. Mereka juga sanggup hantar saya ke Klang dari Taiping kerana mahu meraikan saya yang akan dapat kerja baru.
“Tetapi, saya pula ditipu sebuah akademi yang sebelum itu menjanjikan jaminan kerja 100 peratus. Saya perlu bayar RM3,000 untuk mendapatkan kerja sebagai kakitangan perkapalan, tetapi sudah lebih setahun ia hanya janji kosong,” kata Azrul Mohd Hassim.
Katanya, pada Februari tahun lalu, dia menghadiri latihan di sebuah syarikat di Klang kerana tertarik dengan promosi untuk bekerja di atas kapal dengan gaji lumayan.
Dia bersama beberapa rakan menyertai latihan selepas dijanjikan peluang kerja selepas tamat latihan, tetapi perlu membayar RM3,000 termasuk deposit untuk mengesahkan tempat.
“Saya pinjam wang ahli keluarga kerana hasrat yang tinggi, kalau saya senang, saya akan bayar balik semua duit itu.
“Tetapi selepas latihan tamat, saya tidak dapat kerja seperti dijanjikan, sebaliknya perlu tambah lagi wang untuk masuk ke kursus seterusnya,” katanya pada sidang media bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Harian Metro semalam melaporkan pendedahan PPIM mengenai wujudnya pihak tertentu yang mengenakan bayaran sebagai imbuhan untuk mendapatkan kerja tertentu termasuk bidang perkapalan.
Ia diiklankan di laman sosial seperti Facebook dengan tawaran lumayan selain bekerja di atas kapal mewah dan belayar ke beberapa lokasi terkemuka.
Menurut Nadzim, dalam aduan terbaru, lebih 20 pengadu ditipu sebuah syarikat akademi perkapalan yang mengenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM8,000 untuk mengikuti latihan dan bekerja di Klang, Selangor.
Katanya, berdasarkan semakan awal, pihaknya mendapati wujud unsur penipuan kerana syarikat itu mengumpan pemohon dengan tawaran gaji sehingga ASD2,000 (RM9,000) sebulan.
“Apa yang dijanjikan kepada pemohon ialah 100 peratus jaminan kerja, tetapi perlu bayar dulu, baru dapat. Ada yang sudah tamat latihan dari tahun lalu dan sampai sekarang tidak ada perkembangan,” katanya.
Justeru, katanya, PPIM meminta pihak berwajib mengambil tindakan tegas termasuk menyekat promosi syarikat terbabit yang dibuat di Facebook bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.