KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mencari mekanisme terbaik untuk menyelesaikan kekeliruan dalam kalangan pengguna yang beragama Islam terhadap produk keluaran muslim.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dalam sidang media hari ini menjelaskan terdapat banyak produk keluaran bukan muslim dipasaran yang menggunakan nama dan perlambangan Islamik.
“Ada jenama dan grafik yang menggunakan masjid, songkok malahan tulisan jawi namun produk mereka bukanlah produk muslim.
“Ini bukan isu halal atau perkauman namun pengguna berhak mengetahui status pengeluar produk bagi menjamin tahap halalan toyibban,” ulas Nadzim.
Nadzim memberitahu, isu itu sebenarnya sudah lama menjadi perhatian pihaknya malah menerima banyak aduan orang awam dan ia semakin meningkat sepanjang bulan Ramadan.
Dalam sidang media itu Nadzim mempamerkan sebahagian kecil daripada jenama barangan yang menggunakan ciri-ciri Islamik tetapi bukan produk orang Islam.
Justeru, dalam tempoh terdekat, PPIM akan merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan maklumat itu akan disebarkan kepada pengguna bagi menyelesaikan kekeliruan.
Nadzim memberitahu, PPIM juga sudah meminta kerjasama Jabatan Kemajuan Islam namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.
Mekanisme lain yang mungkin akan dicadangkan PPIM adalah penggunaan label terhadap produk sedemikian dalam pasaran.- MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/05/30/jenama-islam-belum-tentu-produk-muslim-kata-ppim/