Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Jihad Ariz celik al-Quran – Sinar Online – 17/03/2017
18 Mar 2017

Jihad Ariz celik al-Quran

“SAYA pernah berasa tertekan apabila syarikat yang dipelopori dan perjuangkan sebelum ini telah dimiliki oleh pihak lain,” kata perintis e-pembelajaran, Ariz Ramli  yang berkongsi pengalaman hidupnya bersama team Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, baru-baru ini.

“Dalam kesedihan itu, saya menghubungi sifu saya, Datuk Nadzim Johan sebagai Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk berkongsi kesedihan. Beliau menasihatkan saya agar jangan fikirkan perkara tersebut dan reda sahaja.

“Biasanya kalau rasa tertekan atau rasa susah, kita akan ingat dan cari Tuhan. Saya tak malu untuk mengakuinya. Suatu pagi, terlintas di fikiran saya untuk mengaji.

“Namun saya hairan apabila tidak menemui sebarang aplikasi dan laman web yang boleh membantu saya untuk mengaji. Apa yang saya temui adalah domain mengaji.com untuk dijual,” ujarnya yang menceritakan titik permulaan sebagai pemilik laman web tersebut.

Ariz yang lebih dikenali dengan panggilan Caprice telah melibatkan dunia hiburan sebagai penyanyi rap seawal usia 16 tahun. Pelantun lagu Damansara, Watlek Watpeace dan Xde Hal Bro ini turut mengharumkan nama negara dengan bakat seninya di peringkat global.

Di sebalik kehidupan dalam dunia glamor, jauh di sudut hati Ariz semangatnya berkobar-kobar untuk memperkasakan golongan muda dengan ilmu. Berslogankan Jihad in Education, Ariz yang pernah memperkenalkan e-pembelajaran, kini memfokuskan mengaji.com untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran.

Ariz dengan kerjasama rakan programmer telah membuat animasi yang ada jawi dan rumi serta terjemahan seperti karaoke (nyanyi dan ikut) untuk aplikasi mengaji.com.

“Saya juga mendapatkan khidmat Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman untuk merakam bacaan al-Quran. Selepas siap, saya kongsikan dengan ahli keluarga dan minta pendapat mereka.

“Pada awalnya mereka tak percaya yang saya bina sistem tersebut. Itulah permulaan sistem mengaji.com. Saya mahu menyediakan pakej mengaji jenama Islam yang sesuai untuk mudah dan seronok untuk mendekati golongan yang baru hendak belajar.

“Sebenarnya ramai orang seperti saya yang malu hendak belajar mengaji semula. Saya banyak buat kajian dan mendapati ramai pembaca al-Quran di seluruh dunia,” ujar beliau yang menggunakan perkataan mengaji untuk dijenamakan ke peringkat global.

Baru-baru ini, Ariz telah mendapat kerjasama daripada Muzammil Hasballah untuk merakam bacaan 36 surah di studio, selain Ustaz Ahmad Tarmizi dan Jibril Wahab dari Perancis untuk dimasukkan dalam aplikasi. Inilah permulaan Ariz dalam mempakejkan dan menjenamakan mengaji.com.

Gegar dunia

“Saya ingin menerajui budaya mengaji dalam kalangan Muslim. Ini sebagai jihad saya. Ada orang berimej ustaz atau ustazah. Mereka yang kurang pendidikan agama mungkin berasa rendah diri untuk mendekati golongan tersebut.

“Kita sepatutnya menolong antara satu sama lain kerana setiap manusia itu sama, cuma yang membezakan adalah takwa mereka.

“Saya ingin meruntuhkan jurang perbezaan antara golongan orang beragama dan orang awam. Melalui platform mengaji.com, diharapkan semua pihak boleh bekerjasama dan membawa budaya al-Quran untuk memajukan umat Islam di mata dunia,” katanya.

Menurut Ariz, dahulu, ramai cendekiawan Islam tercatat dalam peta dunia. Tapi kini kebanyakan inovasi masa kini seperti Apple, Alibaba, Uber, Facebook dipelopori oleh orang bukan Islam. Sedangkan masyarakat Islam hari ini lebih sibuk bergaduh antara satu sama lain.

Beliau berkata laman web www.mengaji.com yang baru dibina sejak dua bulan lalu dan akan dilancar Ramadan ini. Ia mengandungi segmen motivasi, mengaji dalam tulisan jawi dan rumi. Pengguna boleh belajar al-Quran di mana teknologi tersebut akan menganalisis suara sama graf atau tidak dengan ustaz. Pengguna boleh melihat skor yang diperoleh rakaman suara tersebut.

“Saya sangat teruja untuk melancarkan mengaji.com, semoga aplikasi ini menjadi perjuangan terbesar saya kepada umat Islam.

“Untuk perancangan akan datang, saya mahu bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan syarikat penyiaran untuk orang ramai memanfaatkan mengaji.com dengan lebih meluas.

“Saya berharap dengan adanya aplikasi tersebut, ia boleh mencetuskan budaya membaca al-Quran sepanjang hayat. Seterusnya untuk visi jangka panjang, saya mahu memperkasakan Muslim bagi  menggegar dunia,” kata Ariz yang menyokong World #QuranHour pada 9 Zulhijjah 1438H.

Sumber Dari: http://www.sinarharian.com.my/mobile/rehal/jihad-ariz-celik-al-quran-1.644917