Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JUALAN MURAH GIMIK KAUT UNTUNG – KOSMO – 28/12/2022
28 Dec 2022

PETALING JAYA – Persatuan pengguna mendedahkan jualan akhir tahun dengan tawaran diskaun yang tinggi hanya satu gimik yang bertujuan untuk mela­riskan barangan dan menghabiskan stok lama.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, taktik tersebut bertujuan untuk mengaburi mata pengguna terutamanya mereka yang suka membeli-belah pada penghujung tahun.

Menurut beliau, walaupun terdapat sesetengah barangan yang harganya menjunam sehingga paras terendah, namun hakikatnya ia masih berada pada paras harga asal dan penjualnya juga masih mendapat keuntu­ngan.

“Sesetengah penjual akan menaikkan harga barangan dua atau tiga bulan sebelum jualan akhir tahun berlangsung. Selepas itu mereka akan memberi diskaun sehingga lebih 50 peratus pada hujung tahun.

“Apabila kita (persatuan pengguna) menjalankan siasatan, kadang-kadang harga diskaun itu adalah harga sebenar barangan tersebut.

“Taktik itu sudah lama digunakan penjual terutama untuk menghabiskan stok pada penghujung tahun,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, Jacob memberitahu, sepanjang tahun ini, secara purata pihaknya menerima lebih 15 a­duan dalam sebulan bagi kes penipuan seperti itu.

“Bagaimanapun ada sesete­ngah aduan itu tidak dapat disiasat kerana kekurangan bukti, misalnya pembeli telah membuang resit asal pembelian atau tidak menyatakan lokasi pembe­lian dibuat.

Peniaga mengadakan jualan murah dengan tawaran diskaun menarik pada setiap hujung tahun. – GAMBAR HIASAN

“Aduan seperti ini susah untuk kita bantu dan ketengahkan ke­rana kekurangan bukti. Pihak berkuasa juga sukar untuk mengambil tindakan kepada peniaga,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut mengakui terdapat banyak penipuan berlaku apabila kempen jualan akhir tahun bermula menjelang hujung tahun.

Jelas beliau, kebanyakan peniaga akan mengambil ke­sempatan ketika ini untuk me­lariskan jualan dan menghabiskan stok lama sebelum tiba tahun baharu.

“Bagi mengelakkan menanggung kerugian mereka akan buat ‘sale’ untuk barangan lama. Padahal itu adalah harga asalnya walaupun telah diberikan diskaun.

“Jadi, pengguna harus bijak menilai barangan yang hendak dibeli. Jika berasa tertipu buatlah aduan dengan kadar segera. Sediakan bukti lengkap seperti resit pembelian dan lokasi premis supaya senang pihak berkuasa ambil tindakan,” katanya.

Artikel oleh: Kosmo

JUALAN MURAH GIMIK KAUT UNTUNG

https://www.kosmo.com.my/2022/12/28/jualan-murah-gimik-kaut-untung/