Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JUDI: INDUSTRI MAFIA BESAR SUDAH BERTAPAK BERKURUN LAMA – ISMAWEB – 11/08/2020
11 Aug 2020

KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Tidak boleh dinafikan bahawa isu judi sudah lama menghantui rakyat di negara ini, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Katanya, industri perjudian mewujudkan budaya tidak baik terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Menceritakan pengalaman ketika turun padang bersama-sama penguat kuasa dalam operasi di tempat judi, beliau berkata, ada pihak memaklumkan apabila penguat kuasa datang, premis perjudian akan kosong seperti yang pernah berlaku di Hartamas dan Kepong.

“Macam mana boleh kosong? Kita sendiri yang pergi pun tidak tahu. Ini bermakna berita ini sudah sampai kepada sasaran. Bagaimana boleh sampai, siapa penyampainya?,” soalnya ketika bersiaran secara langsung di Facebook PPIM, hari ini.

Selain itu, Nadzim turut berkongsi pengalaman di mana meskipun kawasan kegiatan perjudian berjaya diserbu, namun akan kembali beroperasi semula tidak berapa lama kemudian.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa aktiviti perjudian ini adalah industri mafia yang cukup besar dan sudah bertapak berkurun lama.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Lelaki dikenali sebagai Mohd Asri Hamid mendakwa demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sedangkan beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan telah melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan itu sehingga Julai tahun ini.

Difahamkan, polis akan memanggil individu berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung video yang ditularkannya itu.

Artikel oleh: Ismaweb

JUDI: INDUSTRI MAFIA BESAR SUDAH BERTAPAK BERKURUN LAMA

https://ismaweb.net/2020/08/10/judi-industri-mafia-besar-sudah-bertapak-berkurun-lama/