Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JUDI ONLINE: PBT JANGAN TERLALU ‘MURAH HATI’ DENGAN SINDIKET!
27 Jul 2015

Seperti yang diketahui umum, sindiket perjudian (pusat mesin judi online) tidak pernah berhenti beroperasi walaupun pelbagai usaha membenteras telah dilakukan oleh PDRM. Mereka cuma akan menghentikan operasi sementara sahaja sebelum meneruskannya apabila isu reda.

Berdasarkan artikel berkaitan sindiket perjudian online yang diterbitkan sebelum ini – JUDI ONLINE: SIAPA PATUT DIPERSALAHKAN?,

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyeru supaya PDRM dan PBT bersama-sama berganding bahu menangani gejala perjudian ini kerana impaknya lebh berkesan.

Namun begitu, jika diteliti, sindiket ini dilihat ‘kebal’ undang-undang dan seolah-olah dilindungi oleh PDRM itu sendiri, atau dalam perkataan yang lebih mudah difahami ialah “kautim“.

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/perlu-serius-jangan-tutup-sebelah-mata-1.116991

Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga dikata mengambil langkah sambil lewa dalam menangani kegiatan ini. Pihak PBT dikatakan tidak menyita atau merampas premis tersebut walaupun pengesahan berkenaan penglibatan premis itu dibuat oleh PDRM (Berdasarkan maklumat operasi serbuan). Ekoran itu, ia turut menjadi punca yang menyebabkan sebahagian besar premis terlibat kembali beroperasi.

Petikan oleh Utusan Online:

Judi haram ‘terus kebal’ 

Kelemahan PBT punca sindiket kembali beroperasi 

‘Terus kebal’ mungkin itulah perkataan paling sesuai bagi merujuk kepada kegiatan judi haram yang masih berleluasa hampir di seluruh negara. 

Berdasarkan maklumat dan tinjauan Mingguan Malaysia terbukti tindakan tegas khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) ternyata tidak menggentarkan sindiket. Mereka hanya menghentikan operasi sementara sahaja sebelum meneruskannya apabila isu reda. 

Difahamkan, sindiket menggunakan pelbagai kaedah dan taktik bagi memastikan kegiatan yang boleh merosakkan masyarakat khususnya orang Melayu itu terus beroperasi. 

Apa mengejutkan, ada di sesetengah kawasan terdapat lebih daripada premis judi haram seolah-olah mereka `kebal’ daripada tindakan undang-undang. 

Apa yang mengecewakan, sikap sambil lewa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terus mengamalkan sindrom ‘bangau oh bangau’ telah menyebabkan sindiket perjudian terus menjalankan perbuatan itu di premis-premis perniagaan. 

Sumber memberitahu, walaupun siasatan dan serbuan dilakukan oleh pihak polis mengesahkan sesebuah premis itu terlibat dengan perjudian haram, namun PBT tidak mengambil tindakan menyita atau merampas premis tersebut. Berikutan itu sebahagian besar premis terlibat kembali beroperasi. 

Sumber tersebut turut menegaskan, sindiket judi tidak akan menghentikan kegiatan mereka memandangkan ia mendatangkan keuntungan berjuta-juta ringgit dalam sehari. 

“Tiada gunanya polis terus mela­kukan serbuan demi serbuan, kalau PBT seolah-olah lepas tangan untuk melakukan penguatkuasaan. Apabila ditanya kepada PBT, mereka menjawab ia di bawah bidang kuasa polis sedangkan PBT ada kuasa untuk merampas dan menyita sesebuah premis,’’ kata sumber itu lagi. 

SUMBER: UTUSAN ONLINE

Disebabkan sikap ‘acuh tidak acuh’ yang dilakukan pihak PBT dalam menangani isu ini, PBT telah menerima banyak kritikan dan digesa supaya lebih serius menangani isu ini.

Petikan UTUSAN ONLINE (27 JULAI 2015):

PBT jangan lepas tangan 

PBT tidak boleh lepas tangan, pihak berkuasa utiliti tidak boleh pandang sebelah mata manakala masyarakat pula tidak boleh butakan mata dengan membiarkan sahaja aktiviti haram itu berleluasa di kawasan mereka. 

Usahlah bercakap soal undang-undang kerana peruntukan sedia ada sudah lebih daripada mencukupi. Apa yang diinginkan hanyalah penguatkuasaan yang tegas. Tetapi malangnya, ia seolah-olah tidak berlaku. Premis-premis perjudian yang pernah diserbu oleh pihak polis kembali beroperasi, ada antaranya dikatakan hanya tutup beberapa jam sahaja. 

Sindiket berupaya untuk aktif semula kerana mereka masih ada premis. PBT memberi seribu satu alasan kenapakah premis itu tidak disita atau dirampas. Pihak utiliti yang menjaga air dan elektrik pula ada alasan masing-masing. Kesudahannya, sindiket hanya tersenyum melihat kesungguhan polis yang tidak ke mana. 

Dalam keadaan itu, penulis tertanya-tanya apakah perasaan pegawai dan anggota penguat kuasa yang sudah pastinya majoriti orang Melayu membiarkan bangsanya sendiri hidup porak peranda akibat bahana judi. Mereka bukannya tidak ada kuasa untuk menghalang tetapi mereka tidak bersungguh-sungguh untuk membanterasnya. 

Oleh itu hentikanlah kisah ‘bangau oh bangau’, jangan hanya bijak menuding jari kepada polis, walaupun sedikit sebanyak polis turut bertanggungjawab membasmi kegiatan haram itu. Apa yang penting ialah tindakan bersepadu khususnya melibatkan PBT. 

SELANJUTNYA

PETIKAN LAIN

  • Kegiatan ini adalah ‘salinan’ daripada semua aktiviti perjudian yang ditawarkan di kasino seperti Genting Highlands, Pahang. Jenis- jenis judi ini kemudian ‘diciplak’ oleh sindiket dalam bentuk judi melalui komputer dan dibawa masuk ke kawasan penempatan masyarakat khususnya orang Melayu.

SASARAN:

  • ‘Internet kasino’ ini bertujuan mengaut keuntungan daripada penjudi golongan bawahan dan berpendapatan rendah terutamanya orang Melayu yang dilarang memasuki kasino sebenar.

ANCAMAN:

  • Memecahkan institusi keluarga.
  • Menyumbang jenayah kecil seperti mencuri dan pecah rumah.
  • Terperangkap hutang dengan Ah Long.
  • Penggunaan khidmat kongsi gelap untuk jaga premis perjudian.

PIHAK BERTANGGUNGJAWAB:

  • Polis
  • Pihak berkuasa tempatan.
  • Pihak berkuasa utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad dan syarikat air.
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM).

PENGUATKUASAAN:

  • SKMM pantau, mengawal dan sekat perisian perjudian.
  • PBT perlu hentikan kelulusan sebarang bentuk lesen pusat hiburan kanak-kanak dalam bangunan, pusat hiburan keluarga, pusat snuker dan kafe Internet khususnya di kawasan penempatan penduduk. Kebanyakan lesen-lesen ini telah disalah guna.
  • PBT harus bekukan kebenaran pembaharui lesen kedua-dua pusat tersebut.
  • Sebarang permohonan lesen baharu perlu dirujuk kepada wakil rakyat setempat bagi mendapatkan cadangan dan kebenaran.
  • Mana-mana premis pusat snuker atau kafe siber sedia ada tidak boleh menggunakan cermin gelap, pintu premis tidak boleh tertutup dan lampu di dalam premis mesti sentiasa dipasang.

HUKUMAN:

  • Penjara dan denda kepada pemilik premis yang menyewa kepada operator judi.
  • Rampas bangunan yang dijadikan premis perjudian jika masih berdegil.
  • Syarikat utiliti perlu sekat semua kemudahan asas seperti air dan elektrik kedalam premis.

ULASAN: PBT PERLU LEBIH SERIUS DAN JANGAN AMBIL MUDAH MENGENAI ISU PERJUDIAN.