Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JUDI ONLINE: @SKMM_MCMC SKMM Kenal Pasti ‘Penyedia Perkhidmatan’ Hebahan SMS
07 Aug 2015

6 OGOS 2015 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenal pasti penyedia perkhidmatan yang membenarkan operator judi mempromosikan aktiviti itu secara dalam talian.
Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata siasatan mendapati perkhidmatan yang membolehkan penjudi menerima tawaran berjudi melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) itu dilakukan orang tempatan menggunakan peralatan khas.
“Walaupun peralatan khas atau ‘off the air’ digunakan, iaitu tanpa melalui rangkaian syarikat telekomunikasi sedia ada, kami secara asasnya telah mengenal pasti mereka yang menyediakan platform tersebut.
“Kami masih menanti masa yang sesuai sebelum melancarkan operasi besar-besaran dalam masa terdekat bagi menahan mereka yang berkenaan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SKMM di sini Khamis.
Terdahulu, beliau menerima serahan 11 parabola daripada pegawai risikan Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Rohizan Mohd Said yang dirampas dari 11 rumah nelayan dalam operasi bersepadu kedua-dua pihak di pesisir pantai Kuala Kurau, Perak pada 29 Julai lepas.
Promosi judi secara dalam talian atau melalui SMS merupakan taktik terkini operator mesin judi meneruskan perniagaan berikutan operasi besar-besaran dilakukan pihak berkuasa ke atas premis judi serta pusat siber yang menjalankan kegiatan itu.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata SKMM akan memperhebatkan lagi kerjasama dengan polis Marin berikutan kejayaan merampas 11 parabola yang disifatkan sebagai rampasan terbesar melibatkan penggunaan parabola secara haram setakat ini.
Beliau berkata sebelum ini operasi SKMM lebih melibatkan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan kerjasama strategik terbaharu bersama pasukan Marin membuktikan suruhanjaya itu komited membantu membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Zulkarnain berkata operasi bersepadu itu adalah untuk mengelakkan orang ramai daripada menggunakan parabola kerana pemilikannya di Malaysia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penyerahan tersebut adalah bagi membolehkan SKMM melakukan tindakan susulan ke atas mereka yang berkenaan dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya.
Sumber: BERNAMA