Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JURANG DIGITAL SEMAKIN MELEBAR JIKA DATA 5G LEBIH MAHAL DARIPADA 4G – GETARAN – 03/02/2022
09 Feb 2022

KUALA LUMPUR – Kumpulan berpendapatan rendah di Malaysia akan semakin tercicir dalam jurang digital jika harga akses kepada rangkaian 5G lebih tinggi daripada 4G, kata aktivis pengguna

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Saravanan Tambirajah berkata penyedia telekomunikasi di negara ini harus menawarkan kadar dan pakej termurah, kerana kebanyakan rakyat Malaysia adalah pekerja bergaji yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Secara purata, pengguna di Malaysia membayar kira-kira RM2 setiap gigabait data jalur lebar 4G, manakala pengendali rangkaian mudah alih (MNO) menyelenggara rangkaian generasi ini dengan caj di antara 45 hingga 55 sen setiap gigabait.

Walau bagaimanapun, kos 5G setiap gigabait yang dicadangkan oleh penyedia rangkaian borong tunggal kendalian kerajaan, Digital Nasional Bhd (DNB), adalah jauh lebih rendah, kerana dihadkan pada sekitar 20 sen setiap gigabait.

“Kebanyakan pengguna telefon mudah alih menggunakan pelan pra bayar kerana mereka tidak mahu membuat komitmen bulanan.

“Mereka menggunakan pendekatan ‘bayar sepertimana yang digunakan’ dalam menggunakan data mudah alih, tetapi mereka akhirnya membayar harga mahal untuk jumlah data yang lebih sedikit,” kata Saravanan kepada The Vibes.

Mengambil kira kos inflasi dan kenakan harga barang keperluan seperti makanan, Saravanan berkata kumpulan B40 dan berpendapatan sederhana sedang menghadapi masalah kewangan yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19.

Saravanan Thambirajah
Saravanan Thambirajah

Tambahan pula, katanya dengan harga peranti telefon pintar berdaya 5G yang tidak mampu untuk dimiliki oleh kebanyakan segmen miskin dan kelas pertengahan negara, hanya pelanggan daripada kumpulan T20 akan dapat menikmati kemudahan rangkaian mudah alih yang lebih pantas.

“Kebanyakan peranti ini dibeli dengan pinjaman ataupun pelan ansuran. Ini akan memberi tekanan kepada perbelanjaan bulanan isi rumah.

“Kita hanya akan melihat kenaikan dalam langganan 5G apabila ia dilancarkan dengan sempurna, tetapi pada kadar sekarang ia akan mengambil masa empat hingga lima tahun sebelum golongan berpendapatan rendah dapat menikmati kemudahan 5G,” tambah Saravanan.

Terdahulu penganalisa menyatakan adalah mustahil untuk rangkaian borong berganda yang dicadangkan oleh pihak MNO sebelum ini boleh mengikut harga jaminan 20 sen atau kurang yang dicadangkan oleh DNB.

Ini kerana DNB sebagai syarikat milik kerajaan, ia beroperasi atas dasar tanpa mengaut keuntungan, membenarkan ia menjual data pada hampir harga kos.

Satu lagi faktor kenapa mustahil bagi pembekal telekomunikasi untuk mengikut harga jaminan DNB adalah kerana mereka perlu melabur besar dalam pembangunan infrastruktur.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan menyokong pandangan Saravanan berkata kerajaan perlu mengutamakan keperluan para pengguna sebelum syarikat telekomunikasi.

Ini kerana syarikat-syarikat itu sudah mengaut keuntungan berbilion ringgit setiap tahun, manakala para pengguna “ditindas” dan terpaksa menerima sahaja perkhidmatan yang disediakan, sama ada baik atau buruk.

“Kadangkala talian langsung terputus dan kita tidak dapat mendengar apa-apa pun.

“Kerajaan harus memastikan sebab di sebalik syarikat telekomunikasi mahu membina rangkaian 5G mereka sendiri bukan berteraskan ketamakan,” katanya kepada The Vibes bila dihubungi.  

Datuk Nadzim Johan
Datuk Nadzim Johan

Nadzim juga menambah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk komunikasi mudah alih, harus memastikan syarikat telekomunikasi dipertanggungjawabkan dan dikenakan denda atas sebarang kesalahan.

“Walaupun mereka membeli data 5G daripada DNB pada harga 20 sen, bagaimana kita tahu caj yang perlu dibayar oleh pengguna?

“Sebenarnya, mereka mengenakan bayaran RM2 dan melakukannya sesuka hati, manakala pengguna pula yang terkesan dengan langkah-langkah ini.

“Dan mengapa membuat menara baharu apabila ia boleh dikongsi? Ia tidak masuk akal.” – The Vibes, 3 Februari 2022

Artikel oleh: Getaran

JURANG DIGITAL SEMAKIN MELEBAR JIKA DATA 5G LEBIH MAHAL DARIPADA 4G

https://www.getaran.my/artikel/semasa/18674/jurang-digital-semakin-melebar-jika-data-5g-lebih-mahal-daripada-4g