http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kaji-bahan-perisa-rokok-elektronik-1.116258 |
Kementerian Kesihatan disaran melakukan kajian terperinci terhadap bahan-bahan yang digunakan untuk membuat perisa rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, kajian secara terperinci itu boleh mengenal pasti sekiranya betul terdapat bahan terlarang seperti ekstrak ganja atau ketum digunakan untuk menghasilkan perisa rokok elektronik berkenaan.
“Kementerian Kesihatan perlu mengeluarkan kenyataan menjelaskan kesan menghisap rokok elektronik terhadap kesihatan serta bahan-bahan yang digunakan untuk membuat perisanya kepada pengguna bagi mengelakkan rokok tersebut disalah guna untuk tujuan tertentu.
“Jika sebelum ini pelbagai maklumat mengenai bahaya rokok dapat disalurkan kepada pengguna, mengapa perkara yang sama tidak dibuat terhadap rokok elektronik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Laporan khas Utusan Malaysia hari ini mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir penghisap rokok elektronik.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, sekiranya kajian yang dilakukan oleh kementerian mendapati terdapat bahan terlarang digunakan dalam penghasilan perisa rokok elektronik, maka tindakan tegas perlu diambil.
Katanya, langkah tersebut bagi memastikan perisa bahan terlarang itu tidak menjadi pencetus baharu kepada masalah penagihan dadah di negara ini.
Dalam pada itu, Timbalan Pre- siden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, perisa bahan terlarang itu secara tidak langsung boleh mendorong masyarakat untuk mengetahui bagaimana rasa ganja atau ketum.
Menurut beliau, dorongan itu boleh bertukar menjadi serius apabila masyarakat ingin mencuba dadah sebenar untuk mendapatkan lebih kepuasan.
“Bila sudah tahu macam mana rasa dadah atau perasaan khayal akibat perisa tersebut, mungkin selepas itu nak cuba dadah sebenar pula untuk lebih rasa puas.
“Jika perisa itu digunakan untuk merawat penagih dadah tegar sebagai alternatif, tidak mengapa, tetapi jika mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, itu sudah menjadi masalah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE