Saudara Pengarang, ISU cukai pelancongan yang hangat diperkatakan baru-baru ini telah mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat. Kebanyakan mereka berpandangan isu yang membabitkan cukai tersebut akan menambahkan lagi senarai beban yang terpaksa ditanggung oleh sebilangan masyarakat di Malaysia lebih-lebih dalam suasana ekonomi tidak menentu.
Apabila dikategorikan sebagai beban, sudah tentu sesuatu perkara itu sentiasa terpahat di minda kita meskipun pelaksanaan segala cukai dibuat oleh kerajaan sebenarnya bertujuan baik iaitu bagi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara.
Sehubungan itu diharapkan kerajaan mengkaji semula cadangan pelaksanaan cukai tersebut demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan apatah lagi kuasa membeli rakyat ketika ini tidak semewah dahulu.
Kita sendiri pun cukup maklum sektor pelancongan di negara ini amat memerlukan kehadiran pelancong tempatan dan pelancong asing. Justeru, langkah memperkenalkan cukai tersebut sudah tentu memberi kesan tidak langsung kepada jumlah kehadiran pelancong terutama pelancong tempatan.
Bayangkan sekiranya kehadiran pelancong tempatan turun mendadak sudah tentu akan menjejaskan sektor pelancongan negara yang mempunyai rantaian perniagaan begitu besar. Antaranya yang terlibat ialah industri perhotelan.
Walaupun hotel bertaraf empat atau lima bintang lebih menumpukan sasaran mereka terhadap pelancong asing namun kehadiran pelancong tempatan juga perlu diambil kira. Ini kerana pelancong tempatan juga adalah segmen terpenting dalam sektor pelancongan negara.
Percayalah, jika kehadiran pelancong tempatan turun mendadak disebabkan pelaksanaan cukai tersebut, sedikit sebanyak industri perhotelan turut terjejas. Jika itu berlaku siapa akhirnya yang akan rugi.
Sudah tentu sektor pelancongan negara kita sendiri yang menanggung akibatnya. Begitu juga dengan industri pengangkutan. Industri ini pasti akan terjejas sekiranya bilangan pelancong tempatan berkurangan.
Saya masih ingat lagi antara objektif kerajaan memperkenalkan kerja lima hari seminggu untuk penjawat awam pada tahun 2005 dan kemudian diikuti oleh kebanyakan syarikat swasta antara lain adalah untuk memperhebatkan industri pelancongan negara.
Mereka boleh menggunakan cuti dua hari (Sabtu dan Ahad) untuk melancong atau berjalan ke beberapa destinasi menarik di negara ini. Saya boleh katakan objektif ini berjaya kerana sejak itu boleh dikatakan setiap minggu lebuh raya utama dipenuhi dengan kenderaan yang keluar dari Kuala Lumpur untuk ke destinasi masing-masing.
Dalam pada itu saya tertarik dengan cadangan beberapa pihak seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera (Bumitra) dalam akhbar baru-baru ini agar cukai berkenaan dikenakan terhadap pelancong asing dan bukannya pelancong tempatan.
Bagi saya alasan yang mereka berikan amat munasabah.
Tujuannya untuk memastikan rakyat kita tidak terbeban dengan pengenalan cukai baharu. Seperti yang mereka katakan pelancong asing tidak mudah terbeban kerana kadar mata wang mereka besar berbanding ringgit Malaysia.
Sekadar membayar RM20 semalam saya percaya tidak memberi sebarang kesan kepada pelancong asing. Oleh itu, saya sarankan kerajaan mempertimbangkan syor tersebut kerana langkah itu dilihat lebih praktikal.
Berkait dengan cadangan memperkenalkan cukai tersebut, memang kita tidak boleh nafikan rakyat ketika ini sentiasa berhadapan dengan isu kenaikan harga yang kadang-kala berlaku tanpa disedari terutama jika melibatkan barangan keperluan harian.
Sudah pasti, situasi yang berlaku itu menambahkan lagi beban rakyat khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Apa pun saya yakin kerajaan mempunyai mekanisme tertentu untuk menanganinya antaranya memperkenalkan harga barang kawalan sempena musim perayaan.
Saya juga amat berharap agar pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperhebatkan operasi dalam usaha mengesan peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati.
http://www.utusan.com.my/rencana/forum/kaji-semula-syor-8232-cukai-pelancongan-1.495529