KUALA LUMPUR – “Kempen ini sebenarnya mudah sahaja. Sokong peniaga yang bayar zakat.” Itu pandangan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang diundang sebagai tetamu segmen bual pagi, Mornink Blues yang disiarkan secara live di Facebook Utusan Online 8.30 pagi tadi.
Mengupas topik “Salahkah Sokong Produk Keluaran Muslim?”, Nadzim berkata, tidak ada salahnya menyokong produk yang dikeluarkan atau dihasilkan oleh orang Islam.
Apabila kempen Beli Produk Muslim Dulu atau Buy Muslim First #BMF digerakkan, kata Nadzim, ada pihak yang menurunkan harga barangan sehingga separuh harga yang sebelum ini, dijual pada harga yang tingggi.
“Kempen #BMF ini, tidak ada boikot pun produk yang dihasilkan oleh kalangan bukan Islam tetapi kalau ada yang nak memboikot, saya tidak boleh nak kata apa-apa.
“Kalau kita tengok, punca tercetusnya kempen Beli Produk Muslim Dulu adalah daripada kumpulan keluarga askar yang terkesan dengan kumpulan yang mengatakan askar hanya makan dan tidur.
“Mungkin anak-anak yang ayahnya seorang askar, ahli keluarga lain terkilan apabila perjuangan dan pengorbanan askar-askar ini tidak dihargai. Jadi, tercetus rasa geram dan tidak puas hati apabila dihina sebegitu.
“Mungkin juga kempen #BMF ini wujud selepas cadangan mengajar tulisan Jawi di sekolah-sekolah menjadi satu isu. Apabila diri kita merasakan terus dihina, kita perlu bangkit dan kempen Beli Produk Muslim Dulu adalah penyatuan orang-orang Islam,” katanya.
Menurut Nadzim lagi, perjalanan kita telah jauh dan kesabaran orang yang dihina pun telah lama. Kenapa kita dihina? Sebenarnya kempen ini antaranya untuk membawa keharmonian dalam negara.
“Kalau dalam negara yang kaum -kaum yang ada mempunyai jurang pendapatan yang jauh, hubungan itu tidak mungkin baik. Jadi, keadaan itu membuatkan kita terkesan dan sudah tiba masanya, kita tidak lagi membenarkan kumpulan tertentu terus-terusan mengambil kesempatan ke atas kita.
“Kalau orang buat tak baik, kita perlu lakukan sesuatu untuk membaikkan keadaan dan kempen #BMF ini adalah kempen yang boleh membawa keharmonian kepada negara, bukan memecah belahkan perpaduan rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata, kuasa beli pengguna yang ada di tangan pengguna tidak mungkin boleh dipaksa untuk membeli produk yang mereka kehendaki dan samalah seperti mereka yang menyokong kempen #BMF ini akan terus menyokong kempen ini.
“Ini bukan sekadar kempen hangat-hangat tahi ayam sebaliknya kempen ini harus disokong. Bangsa yang berjaya akan menyokong kempen ini, Beli Produk Muslim Dulu dan bukannya marah,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Artikel oleh: Utusan Malaysia
KALAU NAK BOIKOT, SAYA TIDAK BOLEH BUAT APA-APA