MASJID TANAH – Usaha membangunkan eko-sistem ekonomi Islam melalui pembukaan pusat beli-belah Malakat Mall tidak mungkin terlaksana sekiranya ‘sikap tunggu sampai sempurna’ menjadi pegangan pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim.
Katanya, beliau tidak berpegang kepada prinsip perlu mencapai kesempurnaan sebelum memulakan sesuatu sebaliknya percaya sesuatu usaha yang baik itu perlu didahului dengan niat dan usaha yang berterusan.
Mengulas mengenai pembukaan cawangan kedua Malakat Mall di sini, beliau mengaku pernah dikritik teruk semasa peringkat awal pembukaan cawangan di Cyberjaya.
Bahkan katanya, selepas pembukaan pusat beli belah 3 tingkat itu, masih ramai yang membuat kecaman seolah-olah mahu melihat kegagalan usahanya.
“Sebenarnya kalau ikutkan kuasa kita, tahun depan pun belum tentu (persediaan) siap, tapi kita putuskan untuk buka seperti di Cyberjaya dahulu.
“Selebihnya kita serah kepada Allah, sebab tiada yang sempurna di dunia ini. Apa yang perlu kita usaha dan baiki kelemahan,” katanya pada majlis pra pelancaran Malakat Mall di sini hari ini.
Majlis pra pelancaran Malakat Mall Masjid Tanah hari ini disempurnakan oleh Mohd. Fadzil bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat.
Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pengalaman membuka cawangan di Masjid Tanah tidak jauh berbeza dengan pembukaan Malakat Mall di Cyberjaya kerana pihaknya tidak pernah memiliki pengalaman dalam perniagaan pusat beli belah.
Bagaimanapun katanya, tawaran untuk mengambill alih bangunan dua tingkat di Melaka Tengah yang sudah lama terbengkalai itu tidak wajar dilepaskan.
“Semasa ditawarkan mengambil alih bangunan ini, walaupun tidak bersedia kita tetap terima sebab memikirkan peluang membangunkan ekonomi di sini.
“Satu lagi sebab nama Malakat itu sendiri. Selain Melaka, kita juga menerima tawaran membuka mall di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Alhamdulillah dengan usaha kita yang sedikit ini, Allah bagi kita jauh lebih hebat,” katanya yang memilih tarikh hari sempena ulang tahun pembukaan Malakat Mall Cyberjaya.
Bahkan katanya, berkat sokongan orang ramai dan doa-doa para ulama, pembukaan kedua-dua cawangan pusat beli belah itu juga ‘bebas riba’ kerana tidak menggunakan pinjaman bank. -MT
Artikel oleh: Malakat Tribune
KALAU TUNGGU BERSEDIA, SAMPAI BILA TAK TERLAKSANA
https://www.malakattribunenews.com/2021/03/kalau-tunggu-bersedia-sampai-bila-tak-terlaksana/