Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘KAWAL KEMUDAHAN PINJAMAN DI NEGARA INI, SYARIKAT KREDIT PERLU DILETAK DI BAWAH BNM’ – BERITA HARIAN – 05/02/2024
06 Feb 2024

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kemudahan pinjaman kewangan di negara ini dikawal dan tidak diberikan secara mudah dengan mengenakan syarat yang ringan.

Setiausaha Kerjanya, Zharif Johor, berkata pihak berwajib perlu mengetatkan syarat pinjaman dengan mengimbangi keperluan komersial dan kesan sosial.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya mendapati ramai orang muda seawal usia belasan tahun ‘hilang’ masa depan akibat disenarai hitam atau mempunyai laporan kredit yang buruk disebabkan hutang bersifat remeh.

Katanya, PPIM sendiri banyak menerima aduan daripada ibu bapa berhubung budaya berhutang anak mereka, malah ada yang terjebak menjadi ‘hamba’ hutang seawal usia 15 tahun.

Zharif Johor

“Berdasarkan maklumat kami peroleh, syarat yang dikenakan bagi sesuatu pemberi kredit ialah cukup umur, ada pendapatan atau penjamin yang berpendapatan.

“Selain itu, satu pertiga atau satu perempat pendapatan dibolehkan untuk membayar ansuran. Sekiranya gaji RM1,500, mereka boleh mengambil motor yang ansuran bulanan RM500.

“Jadi, harus diteliti kesan kepada peminjam sekiranya gagal membayar. Mereka ini akhirnya tidak mampu membina masa depan yang baik kerana sebahagian besar pendapatan digunakan untuk membayar faedah, penalti dan kos guaman,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan BH bahawa semakin ramai anak muda berusia seawal 19 tahun dikesan menjadi ‘hamba’ hutang dengan kebanyakan mereka mula terbeban apabila melakukan pembiayaan motosikal melalui agensi kredit.

Keadaan itu seterusnya semakin menjerat kehidupan apabila mereka memasuki alam perkahwinan, meningkatnya jumlah anak atau tanggungan ahli keluarga sehingga menuju era persaraan.

Pada masa sama, Zharif berkata, tindakan kepada pengusaha yang memberi kemudahan bagi mereka yang tidak layak juga perlu dikuatkuasakan.

Selain itu, katanya, penting juga supaya advokasi berterusan kepada golongan muda mengenai mudarat kerosakan reputasi kredit atau laporan kredit dibuat.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam mengawal serta mempengaruhi keputusan anak mereka membabitkan perancangan kewangan terutama urusan pinjaman.

“Kami sedar ini pasaran terbuka, adanya pembeli dan penjual, namun harus kita akui sebahagian besar anak muda tidak mempunyai ilmu pengurusan kewangan.

“Kami dapati ramai peniaga mengambil kesempatan menjual pada harga tinggi secara kredit kepada anak muda yang terdesak mahukan motosikal walau dengan apa saja syarat. Golongan ini gagal berfikir waras dan didorong oleh nafsu kemahuan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata pihaknya melihat anak muda mula menjadi ‘hamba’ hutang apabila mula mengamalkan budaya berhutang secara kecil-kecilan seperti membeli telefon bimbit dan televisyen.

Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor.

Beliau berkata, mereka akhirnya terjerat apabila hutang yang bermula secara kecil-kecilan menjadi bertindih, sehingga tidak mampu dibayar.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu mengawal ‘tawaran’ hutang ini dengan meletakkan semua syarikat kredit di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

“Permintaan akan sentiasa ada, jadi usaha untuk mengawal tawaran perlu dilakukan dengan meletakkan semua syarikat kredit di bawah BNM.

“Sekarang ini terlalu mudah, jika diletakkan di bawah BNM, syarikat kredit boleh menyediakan laporan berhubung corak peminjam dan melalui kaedah itu, pinjaman anak muda boleh dikawal,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

‘KAWAL KEMUDAHAN PINJAMAN DI NEGARA INI, SYARIKAT KREDIT PERLU DILETAK DI BAWAH BNM’

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1209012/kawal-kemudahan-pinjaman-di-negara-ini-syarikat-kredit-perlu-diletak