PETALING JAYA – Pihak berkuasa disarankan untuk mewujudkan satu cara yang lebih sistematik dalam mengawal isu lambakan warga asing di negara ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu penting supaya aduan rakyat terhadap masalah berhubung warga asing dapat disampaikan dengan mudah dan tindakan susulan dapat diambil dengan lebih efisien.
Beliau berkata, terdapat pelbagai dakwaan terhadap punca wujudnya lambakan warga asing termasuklah penglibatan pihak tertentu ataupun sindiket yang membawa warga asing masuk ke negara ini secara haram.
“Macam-macam yang kita dengar cara warga asing ini masuk ke Malaysia. Ada yang jadi pelarian dan ada juga masuk mengikut sindiket. Sindiket ini dapat untung dengan aktiviti tersebut.
“Dalam isu seperti ini, kita harap rakyat perlu bersama dengan kerajaan dan begitu juga sebaliknya. Perkara ini sudah menjadi isu panas kerana terlalu banyak masalah berlaku melibatkan warga asing.
“Ia dapat dilihat apabila ada di sesetengah tempat yang mana warga asing ini sudah berniaga selain ada kawasan sendiri buat mereka yang didakwa dilindungi oleh pihak lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Justeru itu, beliau menyeru agar satu jawatankuasa antara rakyat dan juga penguat kuasa dibuat yang mana aduan berkenaan warga asing mudah untuk disampaikan.
“Ketika ini, apabila kita nampak warga asing berleluasa, tidak tahu hendak diadukan pada siapa. Tiada jabatan khusus yang memang ambil kes berkaitan warga asing.
“Bila hubungi penguat kuasa, salah jabatan pula. Jadi, sepatutnya kena ada pusat yang menghubungkan antara kerajaan dan rakyat,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE
Artikel oleh: Kosmo
KAWAL LAMBAKAN WARGA ASING
https://www.kosmo.com.my/2024/01/24/kawal-lambakan-warga-asing/