KUALA LUMPUR: Purata 10 kes direkodkan setiap bulan berhubung kurangnya kasih sayang dalam kalangan keluarga elit sehingga menimbulkan masalah sosial yang lain.
“Daripada kes yang dirujuk kepada saya memang berlaku peningkatan. Purata 10 kes dicatat sejak Januari lalu hingga kini, semuanya berdepan tekanan kerana keluarga yang ingin menjaga status mereka sehingga mengenepikan kasih sayang serta hubungan dengan anak sendiri.
“Ada juga anak mereka yang bergelar Tan Sri, Datuk Seri mengakui bahawa tidak tahan lagi dengan kehidupan dilalui walaupun dilimpahi kemewahan. Mereka hanya mahukan kehidupan sebenar, ada suka dan duka, bukan hanya diberikan wang semata-mata,” katanya.
Katanya, terbaru, ada dalam kalangan keluarga elit ini sanggup mengupah pakar untuk mendapatkan khidmat atau rundingan kaunseling untuk menyelesaikan masalah anak mereka kerana ia tidak dapat dibendung lagi.
Katanya, biarpun masih boleh dipulihkan, tetapi dalam kebanyakan kes, anak-anak yang kurang kasih sayang ini mengambil masa yang lama untuk menerima kembali keluarga mereka kerana ada yang hanya berbual selama beberapa minit setiap minggu dengan ibu bapa.
“Isu ini memang kritikal. Mereka sudah terpisah lama walaupun tinggal di dalam rumah yang sama. Ibu bapa pula menggantikan masa bersama itu dengan wang ringgit yang tidak memberi makna kepada mereka, akhirnya mereka terpaksa menerima hakikat bahawa tiada kasih sayang menyebabkan hubungan kekeluargaan renggang,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa masyarakat di negara ini agar menitikberatkan pembentukan keluarga bahagia dan perkongsian kasih sayang secara semula jadi agar semua pihak dapat hidup di dalam suasana yang harmoni.
Ini kerana wujud keadaan di mana ada sesetengah anggota masyarakat yang terlalu mementingkan kebendaan sehingga mengabaikan perhatian kepada anak-anak atau ahli keluarga sehingga merenggangkan hubungan sesama ahli keluarga.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa berkaitan masalah psikologi akibat kurang perhatian ibu bapa, semuanya datang dari keluarga berpengaruh dan berjaya.
Katanya, ia adalah satu isu yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat, namun ramai dari kita yang tidak menyedarinya kerana lebih mementingkan kebendaan selain menganggap ia sebagai isu remeh.
“Seperti dalam filem Melayu yang sering kita lihat, berlaku pergolakan apabila ibu bapa hanya mementingkan duit ringgit daripada meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menyebabkan hubungan menjadi renggang.
“Menerusi aduan secara dalam talian juga, kita dapati masalah kurangnya perhatian serta masa berkualiti turut dirujuk kepada PPIM. Ini bermakna, banyak kes sebegini berlaku dalam masyarakat dan semakin bertambah setiap hari. Sebelum ini kita hanya mendengar isu ibu bapa banyak menghabiskan masa dengan gajet, tetapi ini juga tidak kurang banyaknya.
“Jadi semua pihak perlu memberikan sokongan padu kepada ahli keluarga tidak kira apa status kita atau sesibuk mana sekali pun, yang penting isu kekeluargaan harus diutamakan. PPIM bersedia memberikan khidmat kaunseling dan pemudah cara kepada masyarakat kerana kita mahu membentuk komuniti yang bahagia,” katanya.
Artikel Oleh : Harian Metro
KAYA TAK BAHAGIA
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/10/386340/kaya-tak-bahagia