Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KEBAIKAN, KEINDAHAN DARIPADA AJARAN AGAMA – HARIAN METRO – 03/06/2020
03 Jun 2020

Apakah anda tahu agama ini sebenarnya apa? Apakah definisi agama? Agama ini apakah kaitannya dengan manusia? Mengapa agama ini perlu kepada akal? dan ia adalah syarat seseorang wajib untuk melaksanakan ibadah.

Insan atau manusia adalah istilah yang menunjukkan sifat manusia yang diambil daripada kata dasarnya ‘nasia’ iaitu lupa sebagaimana terdapat riwayat yang menunjukkan ‘manusia itu tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan lupa’.

Ramai manusia yang hidup di dunia ini suka kecantikan bahkan kecantikan juga adalah fitrah manusia. Bukankah apabila manusia lihat yang cantik hatinya akan tenang dan gembira. Begitu juga Islam. Agama Islam mendidik kita supaya kita cantik. Maksud firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami (Allah) mencipta manusia sebaik-baik kejadian (Surah at-Tin, ayat 4) dikuatkan pula dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik

dan Allah suka yang cantik (Hadis Riwayat Muslim).

Di dalam agama Islam ada menyentuh tentang penjagaan diri disebut ‘khisal alfitrah’ (perkara fitrah) iaitu berkaitan dengan penjagaan rambut dan bulu di wajah dan di badan iaitu dengan memotong, bersikat serta merapikan.

Begitu juga dengan pakaian yang perlu dipakai yang baharu, cantik serta sesuai dengan majlis. Maka agama Islamlah yang meraikan fitrah manusia untuk berpakaian.

Apabila kita melihat kepada perkara yang cantik dan suka kepada perkara yang cantik, maka itulah Islam. Sebagai contoh juga kita lihat kuku yang ada pada kita sekiranya kita biarkan ia panjang tidak dipotong jadi bagaimanakah keadaan kuku itu. Maka Islam meletakkan garis panduan perlu memotong kuku seminggu sekali iaitu pada hari Khamis diutamakan kerana untuk memuliakan hari Jumaat.

Apabila ditanya ada seseorang yang apabila dia bercakap tidak ada keluar daripada mulutnya melainkan perkataan yang baik, maka apa kita panggil dia. Tentu jawapannya orang itu baik. Sekarang saya mengajukan soalan kepada seluruh para pembaca. Adakah anda semua suka sifat ini bercakap benar, membantu orang, memuji orang lain, beri duit kepada orang susah, beri tempat duduk kepada orang yang berdiri dan banyak lagi contoh sekiranya ingin diberikan.

Jadi apa jawapan kalian semua? Mesti kalian akan jawab perbuatannya baik. Ini sebenarnya ajaran Islam dan ini perkara asas yang perlu diketahui di dalam Islam. Adapun sifat yang berlawanan daripada itu seperti bohong, menyusahkan orang lain, mengutuk dan mencerca, kedekut, sombong dan sebagainya adalah perbuatan yang tidak disukai manusia maka ia bukanlah ajaran Islam.

Bahkan dalam Islam terdapat istilah khusus di dalamnya iaitu ‘sifat mahmudah’ atau nama mudahnya sifat yang terpuji dan satu lagi adalah ‘sifat mazmumah’ atau nama mudahnya sifat yang dicela.

Justeru, wahai manusia ketahuilah naluri atau fitrah yang baik itu adalah agama Islam dan ajarannya. Maka mengapakah kamu masih keliru dengan agama ini bahkan kamu menafikan agama ini.

Penulis adalah Pengerusi Persatuan Kebajikan An Nur Malaysia dan Penasihat Lajnah Dakwah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Artikel oleh: Harian Metro

KEBAIKAN, KEINDAHAN DARIPADA AJARAN AGAMA