


KUALA LUMPUR: Projek kebun komuniti di Kondominium Villa Puteri, di Jalan Tun Ismail, Chow Kit, di sini menjadi contoh terbaik semangat kebersamaan penduduk bandar bersatu hati mengusahakan tanaman di tengah-tengah kerancakan pembangunan ibu kota.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata inisiatif itu juga mampu menjadi platform riadah dan senaman ringan untuk gaya hidup sihat, selain dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan runcit melalui hasil tanaman sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan dituai.
“Di bawah Agenda Tempatan 21 (LA21), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai unit khusus untuk urban farming (pertanian bandar) yang sedia menyalurkan bantuan seperti kursus dan pendidikan asas tanaman.
“Aktiviti pertanian bandar ini sangat fleksibel kerana boleh dilaksanakan di mana-mana ruang yang ada termasuk balkoni, koridor, mahupun dapur,” katanya kepada BH.
Sambil memuji usaha penduduk Kondominium Villa Puteri, Fadlun turut menggalakkan komuniti lain di ibu kota supaya mencontohi projek transformasi tanah terbiar ini bagi manfaat bersama.
Projek seluas 400 meter persegi itu adalah hasil kerjasama penduduk Kondominium Villa Puteri bersama aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Kongsi hasil tanaman
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata kawasan itu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), manakala DBKL memberikan sokongan teknikal dalam aspek pembersihan kawasan dan penebangan dahan besar.
“Kini, kebun komuniti ini merimbun dengan pelbagai tanaman keperluan dapur seperti serai, kunyit, limau purut, serta tanaman makanan ruji seperti ubi kayu dan pisang.
“Menariknya, manfaat kebun ini melangkaui sempadan kondominium apabila hasilnya turut dikongsi bersama pekerja pembersihan, pengawal keselamatan, dan pekerja pusat membeli-belah berdekatan,” katanya.
Selain sayur-sayuran, penduduk turut mengusahakan madu kelulut melalui tujuh buah kotak sarang yang tidak membahayakan orang ramai.
Penduduk hanya mahu dikenali sebagai Faedzah memberitahu BH, dia sudah beberapa kali dapat merasa hasil tuaian kebun komuniti itu.
“Ada buah ciku, betik, nanas dan tanaman yang biasanya saya guna di dapur juga didapati percuma di sini seperti serai, kunyit, halia, lengkuas, daun pandan dan pelbagai jenis limau.
“Sudah lama saya tidak membeli bahan seperti ulaman dan sayuran ini di pasar, hanya petik mengikut keperluan,” katanya.
Ahli perniagaan ditemui ketika melawat kawasan berkenaan, Datuk Raja Zulkifli Raja Ahmad, menyifatkan kebun berkenaan sebagai sumber makanan organik segar serta menjadi habitat kepada pokok herba yang jarang ditemui di kawasan bandar seperti moringga dan pegaga.
Bagi memastikan kelestarian projek ini, disiplin yang tinggi diamalkan melalui jadual penyiraman setiap jam 3 petang oleh aktivis PPIM dan aktiviti gotong-royong perdana oleh penduduk pada setiap hujung minggu.
Walaupun menghadapi cabaran logistik kerana kekurangan mesin peralatan, komuniti ini tetap komited mengekalkan kebun itu sebagai platform sosial untuk mengeratkan silaturahim antara jiran tetangga.
Nadzim menambah, buat masa ini hasil tanaman hanya kegunaan sendiri, namun jualan kecil-kecilan mungkin dipertimbangkan pada masa hadapan bagi mengelakkan sebarang pembaziran.
Artikel oleh: Berita Harian
KEBUN KOMUNITI KONDOMINIUM VILLA PUTERI MODEL SEMANGAT KEBERSAMAAN WARGA KOTA