Beliau mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berikutan penstrukturan semula subsidi yang menyaksikan harga minyak masak peket satu kg kekal RM2.50 manakala minyak masak botol yang lebih besar ditentukan mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November ini.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan kerajaan mengekalkan harga minyak masak peket cukup melegakan rakyat yang sebelum ini gelisah apabila terdapat khabar angin barangan kawalan itu akan dinaikkan.
Katanya, pada masa sama, kerajaan diharap dapat mencari mekanisme baharu dengan memberikan subsidi kepada yang lebih memerlukan sekiranya harga minyak sawit di pasaran antarabangsa terus melonjak.
“Ini yang saya harapkan. Biarlah barangan yang diberikan subsidi dinikmati mereka yang memerlukan. Bukannya sewenang-wenangnya diseludup dan dibeli penduduk negara jiran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE