KUALA LUMPUR 1 Julai – Keputusan kerajaan memperuntukkan RM1.77 bilion bagi menampung kos penjanaan dan tiada kenaikan tarif elektrik disifatkan tepat pada masanya berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sehubungan itu, pihaknya amat mengalu-alukan langkah berkenaan bagi mengurangkan beban rakyat.
“Jika minyak naik pun, kos ini perlu ditanggung oleh pihak bertanggungjawab atau badan yang memberi perkhidmatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan bersetuju mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWJ di Semenanjung dan 1.20 sen/kWJ di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember, tahun ini.
Mengulas lanjut, Nadzim memberitahu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu terus mengekalkan tarif sekarang di samping meningkatkan keberkesanan perkhidmatan mereka supaya tidak berlaku sebarang gangguan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj turut mengalu-alukan tindakan kerajaan yang prihatin dengan keadaan ekonomi rakyat.
Ujarnya, langkah yang diambil itu dapat membantu rakyat berdepan dengan kos sara hidup tinggi yang berlaku pada masa ini.