Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KEKURANGAN HASIL SAYUR: PELABURAN SYARIKAT TEMPATAN, RUMAH HIJAU MAMPU ELAK KRISIS – GETARAN – 10/09/2022
10 Sep 2022

KUALA LUMPUR – Laporan Channel News Asia yang mendakwa bekalan hasil tanaman kini berkurangan akibat hujan berterusan dan dijangka menyebabkan harga produk itu termasuk sayuran meningkat, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengeluar, pembekal dan pengguna di negara ini.

Malah, menerusi maklumat diberikan Persatuan Pemborong Sayur-Sayuran Malaysia itu, kekurangan bekalan sebanyak 20 hingga 30 peratus berlaku di kawasan pengeluaran tanaman berkenaan, seperti Melaka dan Cameron Highlands, selain di pasar sekitar ibu kota.

Dr N Marimuthu
Dr N Marimuthu

Bagi berdepan situasi itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr N Marimuthu berkata, kerajaan harus memberikan kebenaran untuk mengimport bekalan sayuran sebagai penyelesai masalah itu bagi menampung keperluan pengguna, seterusnya mengelakkan berlaku kenaikan harga produk terbabit.

“Kementerian boleh mengambil langkah mengimport sayuran bagi jangka masa pendek untuk menangani krisis kekurangan bekalan.

“Langkah mengimport hasil tanaman ini akan mengisi kekurangan sayuran buat sementara waktu (ketika situasi hujan), namun pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus melaksanakan usaha lain sebagai penyelesaian jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Marimuthu berkata, pelaburan pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha penanaman sayuran secara besar-besaran juga, dijangka mengurangkan secara ketara import makanan negara bagi tempoh dua hingga tiga tahun.

Justeru, syarikat swasta atau GLC digalak memulakan pelaburan dalam penanaman sayuran, disusuli buah-buahan dan produk lain, seperti tenusu atau ruminan.

Buat masa ini, katanya, tahap sara diri bagi sayuran hanya 60 peratus, manakala baki 40 peratus diimport.

“Dengan pelaburan serius dan penggunaan teknologi, kita mampu mencapai 100 peratus (tahap sara diri sayuran) yang bererti tidak perlu lagi mengimport dari negara luar.

“Pelaburan ini perlu dimulakan GLC, khususnya di negeri dan pastikan ia berjaya untuk menarik minat lebih banyak pelaburan swasta,” ujarnya.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengesyorkan untuk membina rumah hijau bagi penanaman sayuran.

Beliau berkata, menerusi konsep penanaman menggunakan rumah hijau, kesan cuaca panas atau hujan berpanjangan terhadap sayuran ditanam adalah lebih rendah.

Menurutnya, sebagai contoh, jika dalam keadaan hujan lebat sekalipun, ia tidak memberi kesan kepada bidang ini kerana hasil tanaman lebih konsisten.

“Malah, orang ramai turut boleh usahakan tanaman dengan rumah hijau sendiri dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada bekalan hasil tanaman pengeluar atau petani yang menggunakan rumah hijau,” katanya.

Selain itu, Nadzim berkata, kerajaan harus menggalakkan pertanian moden selari dengan kemajuan industri dan teknologi baharu dalam pertanian.

“Pertanian secara intensif terbukti berjaya meningkatkan pengeluaran makanan sesebuah negara atau rantau,” ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui berlaku kekurangan hasil tanaman sayuran kini, namun situasi terbabit tidak membimbangkan dengan kadarnya hanya kira-kira 10 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kekurangan itu adalah paras pusingan normal dan pengguna tidak perlu panik dengan keadaan berkenaan.

Keadaan itu juga, katanya, susulan hujan dan kemerosotan permintaan sekitar bulan lalu.

“KPDNHEP sudah mendapatkan maklumat daripada Persekutuan Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia dan dimaklumkan kekurangan pada masa ini, sekitar 10 peratus sahaja.

“Pengurangan 10 peratus ini adalah pada paras pusingan normal. Secara umumnya, tidak berlaku kekurangan bekalan sayuran dalam negara kini,” katanya.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

Pada masa sama, Alexander menyeru semua pihak untuk tidak mencetuskan sebarang spekulasi berhubung kekurangan bekalan sayuran, malah mendapatkan maklumat tepat berhubung isu terbabit.

“Ini bagi mengelakkan tercetus suasana panik dalam kalangan pengguna,” katanya.

Alexander berkata, harga sayuran masih ditentukan faktor penawaran dan permintaan.

Jelasnya, sayuran yang dipengaruhi cuaca, seperti sayuran berdaun mungkin akan mengalami perubahan harga, sekiranya hujan berterusan.

Bagaimanapun Alexander menjelaskan, bekalan sayur import lain, mampu menampung kekurangan itu sekiranya ia berlaku.

“Pemantauan KPDNHEP akan dilaksanakan secara berterusan dan pihak kami juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memperkukuh bekalan sayur dalam negara.

“KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap mana-mana pihak yang cuba memanipulasi harga produk terbabit.

“Menjadi keutamaan KPDNHEP bagi memastikan harga sayuran berada pada kadar munasabah, menerusi jaminan bekalan hasil kerjasama dengan agensi lain,” tegasnya. – Getaran, 10 September 2022

Artikel oleh: Getaran

KEKURANGAN HASIL SAYUR: PELABURAN SYARIKAT TEMPATAN, RUMAH HIJAU MAMPU ELAK KRISIS

https://www.getaran.my/artikel/semasa/30594/kekurangan-hasil-sayur-pelaburan-syarikat-tempatan-rumah-hijau-mampu-elak-krisis