Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KELANTAN ALUKAN KERJASAMA NGO PERJUANG MASALAH PENGGUNA – HARIAN METRO – 12/04/2021
12 Apr 2021

Kuala Lumpur: Kerajaan Kelantan mengalu-alukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan pengguna khususnya membabitkan hukum syarak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, mengambil contoh inisiatif Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pihaknya optimis usaha untuk mencari keredaan Allah dalam penyelesaian isu pengguna akan berjaya.

Katanya, pelbagai pendekatan yang dirintis PPIM dalam menjadi pejuang isu pengguna perlu dicontohi dan kerajaan negeri bersedia untuk membantu menjayakan agenda Islam secara bersama.

“Apa yang dilakukan PPIM ini adalah bertepatan dengan kerajaan Kelantan iaitu membangun bersama Islam.

“Tujuan kita berada di atas muka bumi ini ialah untuk mencari keredaan Allah SWT. Usaha ini sudah dilakukan PPIM dari sudut keabsahan, kepenggunaan yang disarankan agama, memang sudah jelas,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan di ibu negara hari ini.

Wan Roslan berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan NGO sebelum ini sudah terjalin dengan baik dan ia terbukti menjadi platform untuk orang ramai menyuarakan pelbagai masalah.

Katanya, beliau yakin jika ia diteruskan dan ditambah baik pada masa depan, sudah pasti pembabitan NGO dalam memperjuangkan hak pengguna akn menjadi lebih mudah.

Sementara itu, Nadzim berkata pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri yang lain dalam usaha menyelesaikan sebanyak mungkin isu pengguna.

Katanya, pihaknya juga menjadikan Kelantan sebagai model untuk memastikan gerak kerja sekretariat akan berpandukan kepada akhlak dan nilai agama yang sebenar.

“Semua orang mencari berkat dan dalam kerja-kerja kepenggunaan kita juga begitu, perlu ada contoh yang kita ikut,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

KELANTAN ALUKAN KERJASAMA NGO PERJUANG MASALAH PENGGUNA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/694065/kelantan-alukan-kerjasama-ngo-perjuang-masalah-pengguna