Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KELULUSAN PENYEMBELIHAN SYARIKAT DI AUSTRALIA DIGANTUNG SERTA-MERTA – JAKIM – ASTRO AWANI – 14/05/2022
21 May 2022

PUTRAJAYA: Kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata keputusan itu dibuat hasil sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jakim dengan pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE) semalam.

“Jakim telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia.

“Jakim juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (Pekemas) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan bersama antara Jakim dengan JPV berhubung dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pekemas dan Sahabat 99, dilaporkan mendedahkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh sebuah syarikat di Australia, yang mendapat kelulusan daripada Badan Induk Halal Jakim berdasarkan kepada bukti video, gambar serta diperkukuhkan saksi yang merupakan pekerja sembelihan di syarikat tersebut.

Hakimah berkata badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (Sichma) akan diberi surat tunjuk sebab.

Katanya, Sichma juga berkemungkinan dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Beliau yang menegaskan Jakim dan JPV memandang serius berhubung dakwaan itu berkata prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia perlu melalui suatu prosedur yang ketat dan terperinci sebelum melalui proses pembentangan serta penilaian sebanyak empat kali untuk diluluskan.

“Hal ini kerana proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara dijalankan pengauditan secara sistematik oleh pegawai terlatih JPV dan Jakim berdasarkan beberapa piawaian yang telah ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk,” katanya.

— BERNAMA

Artikel oleh: Astro Awani

KELULUSAN PENYEMBELIHAN SYARIKAT DI AUSTRALIA DIGANTUNG SERTA-MERTA – JAKIM

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kelulusan-penyembelihan-syarikat-di-australia-digantung-sertamerta-jakim-361326