Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KEMENTERIAN LUAR INDIA JANJI BERI KERJASAMA – BERITA HARIAN – 05/04/2020
06 Apr 2020

Kuala Lumpur: Kementerian Luar India berjanji memberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya terhadap isu kebajikan rakyat Malaysia yang dikuarantin di negara itu. 

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata janji itu disampaikan ketika Wisma Putra menghubungi kerajaan India bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara terbabit.

“Wisma Putra mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin dan akan mendapatkan sebab sebenar di sebalik kejadian ini,” katanya menerusi hantaran ringkas di akaun Facebook rasminya, semalam.

Sejak kelmarin, satu video viral menerusi media sosial dipercayai dirakam warga Malaysia yang dikuarantin di sebuah sekolah di negara itu.

Dalam video berdurasi empat minit 35 saat itu, individu yang dipercayai membuat rakaman berkenaan menunjukkan beliau dan 11 rakannya dikuarantin dalam sebuah kelas dipenuhi habuk dan nyamuk.

Individu itu mendakwa mereka dibawa ke sekolah itu dari hotel penginapan, sekitar jam 1 pagi dan meninggalkan barangan masing-masing kerana mulanya dimaklumkan akan dihantar ke hospital, namun sebaliknya mereka dibawa ke sekolah itu untuk dikuarantinkan.

Hishammuddin memaklumkan, kumpulan rakyat Malaysia itu dikuarantin oleh pihak berkuasa India kerana berada di Markaz Nizamudin, iaitu lokasi berhampiran tempat perhimpunan tabligh berisiko tinggi berlaku penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), mendesak Universiti Sains Islam Malaysia (USM), memberi penjelasan berhubung dakwaan melarang pelajar perubatan tajaannya di Karnataka, India pulang ke negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, mendakwa USM seolah-olah tidak menghiraukan soal kebajikan dan keselamatan pelajar terbabit susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

“Usaha ibu bapa membawa pulang anak mereka menemui jalan buntu apabila USM dikatakan enggan memberikan kebenaran pelajarnya pulang ke tanah air.

“Saya ingin bertanya kepada USM, ramai pelancong Malaysia di India boleh dibawa pulang, apa alasan mereka tidak membenarkan pelajar kita pulang? Adakah takut pelajar ini membawa penyakit?

“Risau perlu mengeluarkan kos yang tinggi? Jika ada masalah, saya ingin memaklumkan PPIM boleh bantu cari penyelesaian tetapi jangan jadikan pelajar perubatab ini sebagai ‘tebusan’ di India,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Artikel oleh: Harian Metro

KEMENTERIAN LUAR INDIA JANJI BERI KERJASAMA