Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KEMENTERIAN PERPADUAN PERLU PERHEBAT KEMPEN #MZB365 – BERITA HARIAN – 07/04/2024
08 Apr 2024

KUALA LUMPUR: Usaha memerangi kebencian etnik dan agama melalui amalan meminta maaf dilihat tindakan proaktif terutama bagi memulihkan kembali perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama yang jika dibiarkan, berupaya mengheret rakyat negara ini ke ambang perpecahan.

Beberapa lagi badan bukan kerajaan (NGO) menyokong penuh kempen #MZB365 yang meminta rakyat mengangkat amalan meminta dan memberi maaf ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengerusi Pengerusi Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kerajaan khususnya melalui Kementerian Perpaduan wajar menyambut dan memperhebatkan kempen yang menggabungkan NGO pelbagai latar agama dan kaum itu.

“BERSIH melihat dalam situasi hari ini, terdapat pihak tertentu yang membawa isu 3R (agama, kaum dan raja). Ia cenderung untuk membawa kita ke ambang perpecahan. Sentimen kebencian sesama masyarakat ini perlu untuk diubah kepada naratif persefahaman, ke arah jalinan perpaduan pelbagai kaum dan agama.

“Justeru, kerajaan khususnya melalui Kementerian Perpaduan hendaklah mengambil langkah untuk menyokong serta membantu memperhebatkan lagi kempen sebegini.

“Negara kita tidak akan bergerak maju ke hadapan jika masih bergelut dengan isu perpecahan kaum sesama masyarakat,” katanya kepada BH hari ini.

Semalam, sebanyak 18 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan media menggesa rakyat membudayakan amalan meminta maaf setiap hari dan menegaskan, amalan itu bukan hanya terkandung dalam ajaran Islam, malah turut diajar dalam sistem nilai agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme dan komuniti Orang Asal/Asli di Sabah, Sarawak serta Semenanjung.

Menurut kenyataan dikeluarkan kumpulan itu, usaha menggalakkan memohon dan memberi maaf amat penting berbanding sebelumnya kerana ada individu dan kumpulan yang mencari peluang serta alasan untuk memecah-belahkan masyarakat majmuk demi kepentingan politik, perniagaan dan agenda peribadi mereka.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang turut menyokong Gerakan #MZB365 berkata, selain amalan meminta maaf, kempen terbabit perlu meletakkan garis panduan yang jelas mengenai matlamatnya dan memberi kefahaman mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh disentuh, khususnya isu berkaitan sensitiviti agama.

“Ia satu usaha yang cukup murni, namun (untuk memastikan ia berjaya direalisasikan), perlulah kempen ini difahami oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dengan sebaik mungkin.

“Ini penting supaya kita tidak tersasar…takkanlah hari-hari apabila buat salah nak minta maaf. Apatah lagi jika satu kesalahan itu, perkara yang kita sedar isu sensitif yang tidak boleh disentuh secara sembarangan.

“Mungkin Kementerian Perpaduan boleh sambut kempen ini untuk memahamkan rakyat pelbagai kaum, etnik dan agama di negara ini supaya kesalahan sama tak berulang. Saya boleh katakan kerajaan kita selama ini gagal kerana sehingga kini sebagai contoh, orang Cina pun tak faham orang Melayu, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Justeru, katanya, proses pemahaman dan toleransi antara pelbagai bangsa di negara ini perlu digerakkan secara agresif, malah setiap masyarakat perlu disedarkan untuk sentiasa hormat-menghormati dan membuang perasaan ego yang sekian lama menjadi punca perbalahan.

“Sebab itu saya tegaskan, Kementerian Perpaduan kena bangkit. Apabila bercerita mengenai kefahaman dalam masyarakat majmuk dan patriotisme dalam masyarakat, kita hampir kosong (tiada kesedaran itu). Jadi perlu buat sesuatu dengan serius untuk bawa kefahaman terutama pentingnya sikap hormat-menghormati. Apabila tidak wujud hormat antara satu sama lain, inilah kesannya yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Tambahnya, kesedaran terhadap perkara asas seperti kedudukan Melayu dan Islam di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga perlu diperhebat. Ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertikaian termasuk cubaan untuk mencabar atau menyamaratakan hak setiap warganegara, dengan mempertikaikan keistimewaan dinikmati orang Melayu dan Islam di negara ini.

Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia, Jannahtul Ain Jaafar pula berpandangan, gerakan dicetuskan itu cukup baik terutama bagi ‘menjernihkan’ semula kekusutan yang semakin membarah berikutan pelbagai isu sensitif yang tidak henti-henti dibangkit dan dibincangkan khususnya di media sosial.

“Nasihat saya, untuk elakkan sesama kita bergaduh…usahlah lagi bangkitkan isu sensisitif, contohnya isu stoking dijual KK Mart di media sosial. Benar, jika ada yang mahu terus boikot, teruskanlah kerana itu hak masing-masing. Malah, ada beberapa siri tindakan sudah kerajaan laksanakan termasuk mengheret KK Mart ke muka pengadilan, malah lesen kilang yang mengeluarkan stoking itu di Johor juga sudah ditarik balik.

“Kita juga dapat lihat kesungguhan pengurusan tertinggi KK Mart yang tampil memohon maaf malah menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Daripada itu kita nampak mereka sedar kekhilafan yang dilakukan,” katanya.

Tambahnya, tidak adil untuk isu yang boleh mengganggu gugat keharmonian di negara ini terus dipolemikkan, sebaliknya usaha memperkukuh perpaduan amat perlu dilaksanaknan ketika ini, mengambil kira rakyat ketika ini berdepan masalah lebih besar seperti kos sara hidup yang tinggi.

Artikel oleh: Berita Harian

KEMENTERIAN PERPADUAN PERLU PERHEBAT KEMPEN #MZB365

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1232622/kementerian-perpaduan-perlu-perhebat-kempen-mzb365