Menyifatkan proses perundangan bakal mengambil masa panjang, pertubuhan terbabit diketuai Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mahu kementerian terlibat mengarahkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) membatalkan serta-merta larangan yang jelas bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Presiden UNI-MLC, Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata, lima pertubuhan ini termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberi tempoh dua minggu kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mengaturkan pertemuan bersama dengan MAH untuk cari jalan keluar segera kepada isu ini.
Katanya, apa yang dimahukan adalah jelas iaitu larangan ini mesti ditarik balik dan pekerja Islam di semua hotel antarabangsa atau tempatan dibenarkan memakai tudung seperti mana yang dijamin hak mereka dalam Perlembagaan.
“Kami mendesak tindakan segera, sebab kalau tunggu Akta Pekerjaan 1955 dipinda, ia akan melibatkan beberapa perkara lain seperti waktu solat bagi pekerja, penyediaan surau di tempat kerja dan lain-lain. Jadi ia akan mengambil masa lama.
“Justeru, tindakan lebih tegas dan cepat dituntut sebab isu ini bukan perkara baharu dan masyarakat tertanya-tanya mengenai langkah yang diambil kerajaan. Jika tidak, kami akan ambil tindakan susulan lain termasuk membuat laporan polis dan ‘menyerbu’ hotel terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Setiausaha Kewangan MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani; Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti Wafiq, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dan Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim, Nurul Suhadah Shuib.
Dalam masa sama, Mohammed Shafie berkata, pihaknya juga mencabar MAH supaya membuktikan wujudnya prosedur operasi standard (SOP) pekerja wanita di barisan hadapan dalam sektor perhotelan yang melarang mereka memakai tudung seperti didakwa.
“Jika benar SOP itu wujud, adakah ia boleh mengatasi Perlembagaan? Kementerian Sumber Manusia perlu bertindak ke atas hotel-hotel tersebut kerana mereka mencabar Perlembagaan negara selain mewujudkan sentimen kemarahan,” katanya.
Sementara itu, Nadzim menyifatkan 87 hotel bertaraf empat dan lima bintang yang kononnya mempunyai SOP tersebut sebagai kurang ajar dan tidak mempunyai etika, sekali gus menggesa seluruh masyarakat supaya memboikot kesemua hotel tersebut.
“Sekiranya tiada tindakan dalam tempoh terdekat, kami merancang untuk membuat piket bagi membantah SOP tersebut selain mendesak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pihak berkaitan supaya menarik balik sijil halal yang dikeluarkan kepada hotel yang terlibat.
“Kita hendak tengok sejauh mana pengusaha hotel-hotel ini bertahan. Mereka ambil sijil halal tapi menekan hak asasi pekerja. Sepatutnya kalau larang pekerja wanita memakai tudung, pelanggan yang memakai tudung pun perlu dihalang daripada makan di situ,” katanya.