SHAH ALAM – Pelaksanaan kempen #BebasPlastik yang dilancarkan kerajaan Selangor dan diperluaskan kepada tujuh hari bermula 1 Januari lalu, mendapat maklum balas positif daripada masyarakat di negeri ini.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, walaupun baharu empat hari pelaksanaannya, ramai yang menyatakan sokongan terhadap kempen ini kerana ia bukan satu kempen mengejut.
“Kempen berjalan lancar, sambutan memuaskan, malah ramai yang bebas plastik sejak 2010 lagi.
“Kebanyakan para peniaga memang nyatakan sokongan yang sangat bagus terhadap #BebasPlastik dan ini jelas apabila banyak pasaraya dan pusat beli-belah di Selangor sudah memulakan kempen tersebut dengan meletakkan notis pemberitahuan atau info-info yang menggalakkan orang ramai membawa beg beli-belah setiap hari bagi mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan kempen ini konsisten, kerajaan negeri akan membuat pemantauan kesedaran orang awam serta peniaga dari semasa ke semasa, selain mempertingkatkan penguatkuasaan.
“Kita nasihatkan orang awam atau pengguna untuk sentiasa membawa beg beli-belah, bekas makanan serta bekas minuman sendiri.
“Bantu didik anak-anak kecil dan remaja kerana itulah masa yang terbaik untuk membentuk tabiat yang baik. Ini tahun baru, azam baru dan tabiat juga perlu tabiat baru,”katanya.
Menurutnya, jika orang awam tidak membawa beg sendiri ketika membeli-belah dan memerlukan beg plastik, mereka akan dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap pembelian beg plastik bermula Isnin lalu selaras dengan kempen.
Suber dari