Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KENAPA PTG MAHU HAPUSKAN KEBUN-KEBUN BANGSAR? – MALAYSIA GAZETTE – 12/07/2022
13 Jul 2022

KUALA LUMPUR – Tatkala kerajaan mengesyorkan meningkatkan keluasan penggunaan tanah bagi tujuan aktiviti pertanian kehadiran Notis Perobohan Kebun-Kebun Bangsar oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dilihat tidak senada.

Menurut Pengusaha Kebun-Kebun Bangsar, Ng Sek San, kawasan seluas tujuh ekar yang diterokainya boleh berfungsi sebagai kawasan untuk meningkatkan keselamatan makanan khususnya di ibu kota.

“Badan-badan seperti DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang mempunyai banyak tanah untuk cuba kerjasama dengan pihak kami.

“Dari situ kita boleh bina kebun-kebun sebegini untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di bandar raya. Ini kerana bandaraya kita makin sesak,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

MGF12072022_KEBUN-KEBUN-BANGSAR-11
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan bersama Pengusaha Kebun Bangsar, Ng Sek San melihat keadaan kebun yang pemberitahuan mengosongkan tapak di bawah rentis TNB di lorong Bukit Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 JULAI 2022.

Menurut Sek San, semuanya bermula dengan satu notis daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bertarikh 23 Jun lalu yang mengesyorkan pengusaha Kebun-Kebun Bangsar supaya merobohkan kesemua struktur terlibat serta mengosongkan tanah kerajaan yang diusahakan.

Notis berkenaan kerana ia satu kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara.

Kesalahan itu adalah aktiviti menduduki tanah kerajaan di bawah rentis talian TNB bervoltan tinggi di Lorong Bukit Pantai 4, Bangsar di sini tanpa kebenaran yang sah dari pihak berkuasa negeri.

Jelas notis berkenaan lagi, operasi penguatkuasaan mengosongkan tapak akan dijalankan pada bila-bila masa selepas tarikh tersebut.

Sek San yang merupakan jurutera lanskap profesional berkata, notis itu adalah lanjutan daripada aduan jiran sekeliling di kawasan kebun yang diusahakannya.

Ia ekoran dakwaan pihaknya telah melanggar peraturan dengan memelihara haiwan ternakan.

“Kami tidak cukup pekerja untuk memotong rumput di kawasan cerun, jadi haiwan-haiwan peliharaan itu dibawa masuk untuk tujuan tersebut.

“Kami hendak didik masyarakat untuk menggunakan konsep semulajadi pertanian untuk menanam sumber makanan tanpa racun, ubat kimia dan haiwan-haiwan ini disumbangkan kepada kita daripada pelbagai golongan masyarakat.

“Bila ada aduan, kami kurangkan 75 peratus haiwan-haiwan tersebut dan cuma tinggal haiwan yang untuk kegunaan kebun sahaja,” katanya lagi.

Malah menurut Sek San, 10 daripada jiran-jiran di sekeliling Kebun-kebun Bangsar menyokong kewujudan tapak ini.

Menurut Nadzim pula,  PPIM merasakan kawasan kebun sebegini perlu wujud di menambahkan ekosistem kepada sektor keselamatan makanan yang semakin meruncing mutakhir ini.

“Saya mohon kepada pihak berwajib untuk memberikan pertimbangan sebaik mungkin, apa yang diusahakan ini cukup baik dan bukan mudah untuk dibuat.

“Saya merayu kepada pihak tertentu khususnya menteri dan timbalan menteri Wilayah Persekutuan supaya melihat hal ini. Sepatutnya kita tangani masalah itu dan bukan kita buang sahaja, ini boleh dibetulkan,” katanya dalam sidang media yang sama.

Nadzim berkata, kebun-kebun sebegitu sepatutnya menjadi contoh kepada kerajaan dalam merencanakan proses meningkatkan keselamatan makanan negara.

“Kita tidak seharusnya menjadi Kebun-Kebun Bangsar ini sebagai satu masalah, saya harap timbul satu kaedah untuk membantu dan DBKL sendiri bantu,” katanya lagi. 

Artikel oleh: Malaysia Gazette

KENAPA PTG MAHU HAPUSKAN KEBUN-KEBUN BANGSAR?

https://malaysiagazette.com/2022/07/12/kenapa-ptg-mahu-hapuskan-kebun-kebun-bangsar/